Saturday, September 20, 2008

Izinkan Aku Bertemu Eve

[Cerpen pilihan untuk laman web e-Sastera 2005]

Aku AD4M - perajurit klon yang pertama. Aku mencari Eve, wanita yang dikatakan manusia klon pertama dan dikomersilkan oleh Clonaid itu. Ah, pertama dan kedua itu tidak penting. Aku mahu bertemunya. Aku sudah tidak punya sesiapa pun di dunia ini. Aku menjadi buruan tentera. Aku cungap diburu FBI dan CIA, juga diintip Pentagon. Aku benar-benar sudah lelah.

Sudah lama aku mencari diriku dan apabila kepastian itu semakin hampir apa yang dapat dilihat hanyalah kesakitan dan penipuan. Aku menjadi bidak propaganda dan boneka yang diogak-ogakkan mereka.

Kata Richard, aku tidak punya ayah, hanya punya ibu tumpang yang kemudiannya hilang. Lahirku secara pemindahan nuklear, terwujud dari genetik telur tanpa nukleus. Entah sel somatik siapa yang digunakan untuk penciptaanku ini, aku tidak tahu. Lahirku ini dibayar. Aku melepasi lapis-lapis birokrasi tertinggi dan cetusan mental ilmu sains biogenetik daripada para saintis gila yang ingin menjadi Tuhan. Aku dibar codekan di bahu kanan, berupa garis-garis hitam seakan tatoo dan disintesiskan dengan minda pakar-pakar perang dan ahli falsafah dunia. Sun Tzu, Saddam Hussin, Karl Marx, Hitler, Shih Huang Ti, Saladin dan sebut saja siapa? Aku tahu semuanya.

Duniaku hanya untuk bunuh dan bunuh dan bunuh. Aku dibelenggu dalam sel yang serba menyerabutkan. Otakku disumbati raifal, mesin gan, pistol, mortar, bom dan banyak lagi. Aku kenal apa itu Kalashnikov AK47, M16 A2, Mossberg Persuader Shotgun, AMT 1911 Hardballer, Pentagon Knife, Franchi PA3/215, Desert Eagle Mark XIX dan entah apa lagi yang kalian semua tidak akan tahu sama sekali.

Aku diajar meletupkan bangunan dan manusia, mematikan bom, menembak secara tepat, memandu pesawat pejuang, kereta kebal, kapal perang dan kapal selam nuklear serta beribu aksi lagi yang hanya mampu dilakukan oleh sebatalion askar perang. Kata mereka, lahirku ini adalah keamanan dan cahaya. Aku tidak mengerti dan tidak pernah mahu memahaminya tetapi apa yang diajar kepadaku pada saban malam ialah ‘Bunuhlah Demi Keamanan Amerika!’. Kata itulah yang digetarkan ke impuls telingaku. Kata itulah yang diulang ucapkan sehingga melekat kejap ke sanubariku. Berkali-kali. Berhari-hari.

Suatu malam aku senang saja terjaga ketika debuan simen di pelusuk sel sedang menghembus mukaku. Sinar bulan begitu indah membentangkan dunia luar sana yang menggamit dan memanggilku mencari natijah kelahiranku ke dunia ini.

Kandahar, Afghanistan – Aku melihat duniaku yang pertama di sini. Aku membunuh manusia yang bernama Taliban dan Al-Qaeda. Aku lihat ramai manusia mati di segenap penjuru. Di sudut kakiku ada wanita yang terburai perutnya. Ususnya yang carik itu berjurai bergantung-gantungan dengan darah menitik pada jendela yang hanya tinggal bingkai dan dinding sekerat. Ada seorang anak kecil, muka berceloreng belerang hitam dengan rambut kusut perang sedang menjerit. Ada air mengalir dari kelopak matanya dan tangisan itu seakan menikam-nikam sanubariku. Tapi aku tiada perasaan apa pun. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkan air dari kelopak mata seperti itu. Aku tidak pernah diajar. Kesakitan sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Rasa takjubku hanyalah pada dunia ini yang luas berjajar dan manusia-manusianya yang bergerak sepertiku dalam pelbagai rupa. Menangis. Mengapa perlu menangis?

Aku melihat Simon ketawa girang sambil memijak jasad-jasad kaku, mangsa peluru balistik dari pesawat pejuang tanpa juruterbang, X-45A. Isterinya turut menangis seperti kanak-kanak tadi dan memaki hamun Simon. Lalu ditembaknya mati, dirobeki peluru H&K MP5! Berlubang-lubang jasadnya hancur bersepai. Sejak itulah aku tahu erti ketawa. Ketawa itu lawannya tangisan. Ada tangisan maka adalah ketawa. Begitu kata Simon. Lalu aku tega membunuh sesiapa sahaja dan ketawa. Itu satu nikmat yang tak terucap. Ketawalah!
Ah, rasanya aneh sekali. Manusia itu tahu sahaja mencipta sesuatu yang melampaui keterbatasan diri. Aku cukup kagum. Dan kerana kekaguman itu jugalah aku menjadi seorang abdi yang taat menyujud titah dan perintah para saintis gila itu. Mereka kata mereka penciptaku. Mereka lebih dari seorang ayah mahu pun seorang ibu. Merekalah kawan dan merekalah kekasih.

Aku yakin kewujudan Eve sama sepertiku Cuma aku tidak tahu untuk apa Eve itu diciptakan. Aku cuba memikirkan dan banyak pula perkara yang aku tidak mengertikan.

Bali, Indonesia – Pusat hiburan itu musnah aku letupkan. Puas...? Entahlah. Kematian sudah tiada rasa apa-apa bagi diri ini. Dalam hiruk pikuk jeritan yang melolong siapa akan menyangka aku adalah salah seorang daripada dalangnya. Richard pernah memberitahu, kalau mahu sembunyi daun biarlah di dalam daun juga. Seperti diduga, hebohlah CNN dan media-media dunia lainnya, kata mereka angkara pengganas dan militan Islam walhal akulah salah seorang pelancong di pusat hiburan itu. Tapi aku peduli apa. Tugasku sudah selesai.

Malam itu aku gesit berangkat pulang. Lebih awal dari sepatutnya. Indonesia tiada apa-apa selain kegawatan warga, politik dan ekonominya. Tiba di makmal, bar codeku diimbas. Ada cahaya merah menggelintar kiri dan kanan bahuku. Pintu dibuka senyap. Aku lihat Richard sedang ralit menatap bait-bait hijau pada skrin komputer. Berkelip-kelip kaca matanya membiasi sinar skrin. Aku merapati belakang Richard, perlahan dan tanpa sedar.
Richard,
Ini arahan Presiden. Segerakan penciptaan rejimen askar klon halimunan. Kita ada misi di Iraq. AD4M akan mengetuai askar klon itu di barisan hadapan. Biarkan mereka mati di sana. Bunuh mereka kalau hasilnya gagal. Askar manusia kita siap sedia di belakang.
“Kau mengkhianati aku, Richard?” Aku menarik keluar Desert Eagle dan mengacu ke rusuk Richard.

“Err..., kau sudah pulang AD..., kau salah faham sebenarnya... Dengar dulu penjelasan aku....” Richard menggelisah. Mukanya pucat. Gusar dan panik bercampur baur.

“Setidak-tidaknya kalian perlu menghormati aku sebagai seorang manusia!”

Bammmm!! Tangan terhinggut. Bau belerang menusuk hidung, berasap-asap. Perut Richard memercik darah. Dia terhuyung-hayang sebelum terjelepuk jatuh. Sempat dicapainya sebuah bangku lalu diketiakkan, menampan beban diri yang kian perit dan pijar.

“Uhh... Aduhh... Dengar dulu kataku, AD. Aku belum memutuskan apa-apa kepada mereka. Mustahil aku mengkhianati kau... Percayalah!”

“Kalian bermuka-muka. Kalian beritahu semuanya demi keamanan Amerika. Benarkah Amerika akan aman dengan kelahiranku? Penipu! Aku hanya patung dan alat, Richard. Kelahiranku sia-sia. Kalian peralatkan aku bagaikan aku tidak punya nyawa!” Bicaraku bergetar dalam kemarahan yang memuncak.

Richard bersuara payah, “Aku pernah merasai erti kehilangan. Demi kecintaanku pada negara dua anakku diragut nyawa mereka ketika Perang Teluk. Amerika tidak pernah memberi apa-apa kepada kesetiaan bodohku dan sekarang mereka mahu menggadaikan engkau yang sudahku anggap sebagai anakku sendiri. Aku tak sanggup lagi kehilangan manusia yang aku sayang. Aku nekad mahu musnahkan makmal ini. Aku sudah melenyapkan mikrocip di dalam otak kau. Kau bebas sekarang. Mereka tidak dapat mengesan kau lagi. Aku sudah tidak punya sesiapa di dunia ini selain kau, AD. Kau anakku. Kau adalah klonku. Uhh..,Uhhh... !”

Mata Richard basah dengan air mata, bersungguh dia cuba memberitahu. Ada lelehan darah keluar dari bucu bibirnya. Hatiku tiba-tiba rasa disayat, jasadku seperti dirabik-rabik lumat dan carik. Sangat luka dan menyakitkan! Aku pantas meribai. Air mataku jatuh titis demi titis membasahi wajah Richard, kurasa hangat buat pertama kalinya.

“Kau menangis, AD?” Richard seakan terkejut. Tanganku digenggamnya erat.

“Aku juga manusia sepertimu.” Aku membalas genggaman Richard dan dia tersenyum pahit.

Dalam silau pandang yang kian pinar dan kabur, Richard berbicara lagi. Tersekat dan tertahan-tahan.

“Manusia sedikit pun tidak pernah berkuasa. Aku senang sahaja menciptamu. Tapi rasa manusia dan perasaanmu itu hanya Tuhan yang berkuasa menciptakannya. Kau mesti lari jauh, AD. Jangan kembali ke sini lagi.”

Kata itu berakhir dengan tangannya terlayu lembik. Lehernya terkulai dan tubuh mula mendingin. Richard mati kerana Amerika sedangkan Amerika tidak pernah mati kerana Richard! Adilkah? Sama seperti Richard, aku sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Apakah ada manusia yang akan memahami dan menyayangi manusia klon sepertiku? Siapakah lagi?

Aku terus amuk. Komputer-komputer makmal dan balang-balang uji kaji kutembak hancur. Semua sebatian dan campuran kimia yang masih panas dan terjerang pecah berderai mengotori dinding makmal, busuk dan tengik menyucuk-nyucuk hidung. Sesetengahnya terbakar bersama api meratahi kertas dan fail-fail yang kurasakan satu pembelotan. Makmal kelahiranku meletus hebat, berdentum-dentum. Jasad Richard kubiarkan aman menjadi debu. Tiada apa lagi di sini untukku. Aku harus larikan diri. Jauh dan terus jauh.

Kuala Lumpur, Malaysia – Inilah hentian terakhir persinggahanku. Rasa selamat benar berada di negara ini. Kerana keamanan negara inilah aku dapat lolos dari buruan. Ini rantau tanpa peperangan. Kedaulatannya dihormati! Tiada lagi gangguan Amerika di sini tetapi entah sampai bila! Bukankah Amerika senang sahaja menceroboh negara lain atas dasar keamanannya?

Aku berjanji akan menculik Eve dan membawanya sembunyi di sini. Tapi aku tetap berasa bersalah kerana kewujudanku ialah untuk membunuh sekian banyak manusia suci, kononnya atas dasar demokrasi dan keamanan. Aku menjadi implementasi bernyawa yang dieksploitasikan. Mereka silap! Bukankah aku masih punya nyawa, nafsu dan minda yang tak upaya mereka ciptakan? Sampai bila-bila pun mereka tidak mampu.

Kerana itulah aku menjadi si gila yang pendendam. Dendamku kerana diperalatkan. Dendamku kerana diciptakan. Dendamku kerana natijahku adalah dibunuh hanya kerana eksperimen penghasilanku ini adalah GAGAL. Dendamku juga adalah kerana bakal terwujudnya satu rejimen askar klon buta hati untuk dikambinghitamkan dalam setiap agenda perang mereka. Manusiakah aku sekiranya membiarkan bangsaku sendiri dibunuh oleh mereka yang mengheboh bangga menciptakannya?

Jaga-jaga, Amerika! Apabila sudah aku ketemukan Eve, akanku setubuhinya. Akanku lahir dan sebarkan bangsa-bangsaku ini dan mereka akan kulatih untuk mengonarkan Amerika kelak. Dan apabila aku rasakan tidak puas meladeni dendam ini, akan aku hancur luluhkan seluruh umat manusia. Biar bangsa klon merajai dunia ini dengan aman agar mereka tidak memandang rendah dan menghina bangsa-bangsaku. Biar manusia tahu dendam bangsa klon apabila dirinya dikhianati dan diabdikan! Tatkala itu, tiada siapa lagi yang dapat menghalang! Tiada siapa!

0 komen: