Sunday, April 03, 2005

Ibu, Jerusalem Membawamu Pergi!

Tunas Cipta
April 2005
Ibu,
Ini tanah tempat lahir dan wafat nabi-nabi
Dan para rasul suci
Jerusalem ini jugalah yang membawamu pergi
Pada dini subuh dingin
Kita dihangati air mata dan darah
Sehingga embun pun menjadi merah

Ibu,
Ketika suamimu dipanggil pergi
Dan anakanda sulungmu hilang tak ketemui
Kau selalu kudengar
Menyembunyikan derita dan sengsaramu
Pada getar suci kalam Quran dan takwa iman
Kau sering kulihat
Menyelimutkan air mata dan deritamu
Pada lusuh sejadah dan telekung yang basah

Ibu,
Ketika rumah kita bergemuruh
Kau pun memeluk aku dan adik Fatimah
Tudung loyang yang berlubang kau tadahkan
Kita diluruhi bertih peluru dan serpih batu
Bersama laung Allah Maha Besar
Kulihat kau jadi wanita kekar
Cuba melindung anak-anakmu dari dicalar

Ibu,
Ketika itu
Tiada siapa mahu mendengar
Jerit adik Fatimah yang lapar
Dan suara anak-anak jiran menghingar
Dalam panas dakapmu aku berasa ini mimpi paling aman
Adik Fatimah kau lenakan dalam kenyang sedu susumu
Penuh sayang kau usapkan ubunku dan berbisik
Anakku, Jerusalem ini adalah tanah tumpah agama kita
Biar kita saja yang mati kerananya

Ibu,
Pada subuh dini itu
Jerusalem membawamu pergi
Ketika selerak mangkuk-mangkuk roti
Dan percik-percik darah di lembar al-Baqarah
Susumu tertumpah memutih ke wajah adik Fatimah
Darah memekat bersama carik perut dan pucat muka
Dan Jerusalem pun membawa Fatimah pergi
Jerusalem juga membawamu pergi
Meninggalkan aku seorang diri