Wednesday, March 05, 2003

Apabila Rina Memadamkan Api Rokokku

Tunas Cipta
Mac 2003
apabila rina memadamkan api rokokku
(versi tanpa suntingan)

Sebenarnya ini hanya lampiasan atau luahan rasa aku, seorang remaja yang lara cintanya. Kamu bosan? Nanti, cerita cintaku bukannya cerita biasa. Cerita cintaku tidak seperti kisah-kisah cinta yang kamu dengar pada wayang gambar atau novel yang bersegi-segi cintanya kerana pihak ketiga. Lerainya perkenalan kami bukannya seperti pasangan lain. Bukan kerana semua itu. Jangan sesekali fikirkan cinta kami seperti itu. Dia meleraikan cintaku hanya kerana rokok!

Kamu mesti tahu bahawa cintaku bersama Rina relai kerana aku merokok. Dia tidak pernah tahu sebelum ini sehinggalah rahsia itu bocor ketika senangku menagihi 400 kimia racun itu bersama teman-teman di bangku restoran.

Di situ, ada juga teman-temanku yang bukan perokok. Mereka menerima seadanya perokok-perokok aktif sepertiku. Persahabatan itu lebih penting. Kami senang melayani dunia serba asap itu. Kami enak menghembus, membentuki abjad-abjad O, kecil dan besar. Menghembus asap ke muka teman sebelah dan rela dimaki hamun. Ah, apakah yang lebih mudah selain mendapat rakan baru dengan menghulurkan sebatang rokok? Itu semua adalah sesuatu yang klasik dan sentimental bagi seorang perokok sepertiku.



“Kenapa awak tinggalkan saya macam ni.”

“Saya benci perokok.”

“Saya akui saya menipu awak.Cuma saya tak punya kekuatan untuk menyatakan hakikat ini. Tapi percayalah, saya tetap seperti apa yang awak kenal.”

“Ya, awak yang saya kenal sebagai seorang penagih rokok. Awak hipokrit. Ego. Apa yang awak mahu tunjukkan. Kehebatan diri? Atau awak rasa jengkel dipandang kurang kelakian.”
“Kenapa awak tak pernah cuba memahami saya?”

“Awak yang tak pernah faham saya. Saya ingat selama kita saling mengenali, awak memahami peribadi saya. Pendirian saya. Awak buat saya menghitung masa depan saya yang gelap dan sunyi.”

“Kenapa awak cakap macam tu”

“Awak takkan faham. Dan awak tak pernah cuba mahu memahaminya” Rina menoleh dan melangkah. Ada sedu yang cuba dilarikan. Aku ditinggalkan kusut. Kaku.

Aku akui aku seorang perokok. Siapa memaksa aku terjun ke dunia rokok ini Jawapanku ialah tiada siapa. Aku merokok kerana diri sendiri. Kerana niat aku mahu menghisapnya. Samalah seperti perasaan kamu inginkan yogurt masam dan tiba-tiba sahaja bisa menagihimu. Apa perlu kamu buat?

Selain daripada menempah masalah batuk kering, barah peparu, jantung dan lemah tenaga batin yang diingat-ingatkan, ada apalagi salahku? Kenapa aku, seorang perokok dilayan masyarakat kelas dua? Mungkin aku curang membeloti wang pinjaman kerana membeli sekotak rokok. Selain itu aku tiada punya apa untukku bazirkan.

Jadi, apakah bezaku dengan mereka yang mengumpul prepaid-card untuk mengomol suara kekasih saban malam yang belum tentu sehidup semati. Apakah bezaku dengan mereka yang senang menukar telefon mobilnya, bisa menjemput barah otak! Kamu tidak tahu tentang hasil teori dan kajian santis masa kini? Dengan mereka yang mengghairahi Modesto’s, barangkali Chinois – ada funky girl dengan dada dan pinggul montok menari lentok-lentok, senggol-senggolan. Memabuki busa whisky, beer dan champagne, melanggani jalang mungil di Bintang Walk (cuma RM200 semalaman) dan melayan marijuana haram. Wah, apakah aku lebih teruk daripada itu? Dosaku cuma merokok.

Kerana aku perokok muda aku digambarkan pembawa masalah sosial dan kendiri. Apakah kerana perokok itu orang muda lepasan lapan belas sepertiku dan masih pula menuntut, aku dilucut segala kehormatan. Kamu tutupkan segala timbang tara dan budi bicara. Seolah-olah aku tiada punya perasaan dan semangat kecintaan pada agama, nusa dan tanah air.



Nah, lihatlah wahai manusia yang bencikan perokok sepertiku. Jadilah seperti Amerika, perokok aktif tidak dibenarkan memiliki anak angkat berbanding pasangan homoseksual! Sudahlah aku terpaksa cungap diri menuruni tangga ke bawah bangunan untuk meladeni rokok saban hari. Entah-entah apa lagi mahu kamu semua lakukan pada kami selepas ini. Dunia apa ini? Mengapa ulama tidak sepakat menfatwa budaya tagih ini? Kerana ada antara mereka tidak bisa melepaskan tagih diri pada asap-asap rokok, keretek, sigar, syisha mahu pun cerut dari lelubang bronkus dan bronkiol sendiri. Kamu tidak belajar sejarah. Rokok adalah ketagihan sejak Christoper Columbus menemui benua Amerika lagi. Betapa budaya orang-orang Red Indian ketika itu senang sahaja merebaki lantas merasuki manusia dunia seluruhnya. Katakan padaku apakah rokok itu hina dari mengomoli candu, kokaine, heroine, morphine atau pun menonggak arak? Ketika dunia mencanang mewujudkan sukan tanpa rokok tapi bolasepak Liverpool masih gah dengan lambang Carlsbergnya. Bola sepak Malaysia pula kepingin amat memeluk Piala Tiger, mahu jaguh Asia Tenggara atau pun boneka promosi Tiger Beer? Bagaimana aku mahu mengerti?

Kata Rina, aku jadi sahaja pembela penagih-penagih nikotin (juga tar, karbon monoksida dan 397 racun lainnya). Canangkan satu Malaysia. Marilah merokok sepertiku. Tunjukkan kemurnian dan kehebatan menyedut batang-batang dengan api kelip-kelip merah. Kau bisa jadi presiden rokok-rokok dunia. Sponsormu bukan sedikit. Syarikat-syarikat rokok dan tembakau dunia. Dunhill, Marlboro, Gudang Garam, Mild Seven. Kau jadi kaya. Ternama.

Itulah kata-kata Rina padaku. Mungkin itu juga kata-kata kamu semua. Kamu dan Rina sama sahaja. Kamu menyarung rasa prejudis pada aku dan mereka-mereka sepertiku. Aku tidak tahu ketakutan dan kebimbangan kamu itu pada siapa. Pada kami? Terima kasih sajalah. Kamu patut meyakini setiap perokok itu itu adalah pemberani. Apabila mereka berani untuk memilih jalan ini, mereka mesti berani membeban risikonya di atas pundak sendiri.



Petang damai itu memaksa aku menyapa Rina. Dingin Rina seperti biasa menyambut kecewaku.
“Rina, kita patut mulakan semula.”

“Mulakan bagaimana? Menerima perokok seperti awak”

“Maaf kerana mendustai awak. Saya tahu jalan yang saya pilih ini mengundang derita diri. Tapi tak bolehkah awak cuba fahami. Saya bukan ego diri. Tapi saya faham gadis baik seperti awak kadangkala menjemput prejudis buat perokok seperti saya.”

“Jadi apa yang awak mahu dari saya.”

“Awak tidak seperti siapa yang saya kenal. Biarpun api rokok saya tidak bisa membunuh saya kini tapi diri awak membunuh saya. Saya mahu kita seperti dulu. Kalaulah kerana rokok itu mengundang kejengkelan dan sakit hati awak pada saya, saya akan lepaskannya demi awak.”

“Awak tidak ikhlas. Jangan menipu diri. Kalau mahu berjanji, janjilah demi diri sendiri. Saya tahu siapa awak. Saya tahu cinta awak tidak pernah berubah dan saya juga tidak mampu menipu diri tentang rasa cinta ini. Tapi saya gadis lemah. Api rokok awak seakan membakar rasa cinta saya pada awak. Api rokok itu sentiasa menjadi deja-vu, membunuh insan-insan yang saya cintai.”

Rina tunduk. Mata cantiknya merah menampan bedungan air mata. Kelopak mata Rina terkerdip. Tudung rona hijau mudanya itu ternoda setitis air mata. Aku kedu. Sayu. Buntu dan tidak mengerti. Sehingga saat ini apakah aku mampu mengelak rasa kasihku pada Rina?



Aku bagai putus asa. Rina kecewa. Empat bulan talian tidak berjawab. Aku nekad ke rumah Rina. Mak Mah, pembantu rumah Filipina memberi jawab bimbang. Papa Rina kritikal di hospital. Barah paru-paru dan sakit jantung, bahana ketagihan rokok. Aku muram. Kesal kerana tidak pernah mengetahui.

Ruang hospital dibauri bancuhan ubat. Di penjuru, ruang hospital entah kenapa ku rasa lebih gelap dan suram. Rina kulihat duduk di bangku luar wad, tunduk. Aku gesit berlari menjengah pintu. Ibu Rina mengalir air mata. Panel nadi di sebelah katil berbunyi senada. Ada jasad terselimut. Aku memandang Rina. Ada air mata turun bagai hujan tanpa tertahan. Mataku seiring basah. Memang aku tidak pernah faham dan tidak pernah mahu memahaminya. Tidak salah Rina terpandang bayang-bayang masa depannya yang gelap dan suram. Tapi aku masih boleh berjanji. Bukan sahaja demi Rina tapi demi diri sendiri. Percayalah, aku tidak akan merokok lagi!