Tuesday, October 20, 2009

Rama-Rama Di Bibirmu

Kata-kata dari bibirmu
adalah rama-rama
yang hinggap di bucu jendela
penuh pesona

Monday, October 12, 2009

Derita Hidup Kita

Kawan,
lebih baik mati
kerana derita
daripada hidup
tanpa cerita.

Wednesday, September 09, 2009

Menikmati Malam

Malam dingin
kubuka mata, suaramu menerobos jendela
mengirim desir tanya
mahu ke mana kita?
kataku
aku sudah lama tidur dengan wajahmu pada bulan
cuma tiada khabar salam pada cebis rindu
kerana aku mahu kau menunggu saat kusumbukan pelita dari jiwa gelap
supaya akan kau lihat cinta gemerlap

Saturday, August 15, 2009

Kita yang Tiada Suara

Selalu saja
Hati ini tiada mulut
untuk bersuara
Mulut pula
tiada hati
ketika berbicara

Bila lagi
mahu aku faham diri sendiri?

Tuesday, August 04, 2009

Hujan yang Sejuk dan Payung yang Bocor

Hujan di luar
Basah dan sejuk
Payung pula tiba-tiba bocor
Katanya,
Maaf
Hari ini awak basah
Sebab kita sakit

Saturday, July 18, 2009

Kata-Kata Dari Matamu

Kata-kata
dari matamu
adalah bahasa api
membakar sukma
dan
aku sesungguhnya
dapat merasa
nafas ini dipanggang
menjadi bara
hangus dan mendebu

Malam itu
tidak terhitung
cinta kita yang rentung

Thursday, June 18, 2009

Manisnya Cinta Kita

Andai relung hatimu
berbaja risau, maaflah
kerana kebun takdir ini
buahnya penuh hijab
entahkan manis
entahkan masam
kita mencari, menduga
dengan indera penuh batas
sesekali tertipu kita belajar
menghitung musim, menelah rasa
kerana
manisnya cinta itu
kadangkala kulitnya jelik, pelik
tapi isinya putih
penuh cinta
penuh syurga

Saturday, June 13, 2009

Derita, Terima Kasih

Akhirnya kau datang
setelah lama bersembunyi di lorong kesunyian
datangmu membawa igau panjang dan mimpi tak bermusim
menggali-gali kesedaran, menggegar kamar sepi

Sakit, engkau yang kukenal datang juga
datanglah, badan ini masih mampu menanggung
luka-luka yang menyiat urat dan daging
sehingga air mata menyejat dan mengering

Sakit, terima kasih kepada pelajaran
kerana aku, kita
manusia
tidak harus lemah kerana derita

Saturday, May 23, 2009

Kita yang Bersalah

Bukan
salah engkau
tidak menunggu
cuma aku
tidak mengejar

Friday, May 08, 2009

Cerita Tentang Kekasih

Kalaulah
engkau, aku
berkasih
akankah
kita bercerita
tentang Kekasih

Sunday, May 03, 2009

Penjara

Tuhan
Barangkali diriku
jeriji kecil bersawang
terperosok di penjara sempit
tanpa sebintik cahaya pun
kerana tiada pernah
aku meraub debu di kaca muka

Tuhan
Derita apakah
buatkan aku begini?

Wednesday, April 15, 2009

Maknanya Pedih

Derita yang mengulir kamar lenaku
ada air mata sudah lama menjadi sungai
kontang dan merekah
dan dalam mimpimu
aku hidup di hutan tabah
subur dan menghijau
sedangkan sengsara ini tidak pernah bernisan
ia kemboja, tumbuh mewangi luka
kalaulah engkau faham maknanya pedih

Sunday, April 12, 2009

Cerita Cinta Larut Malam

Menyebut namamu pun aku tidak mampu
kerana rindu yang engkau pasung
menjadi jantur malamku

Menyebut namamu pun aku tidak mampu
kerana kasih yang engkau bendung
menjadi ranjau mimpiku

Kekasih,
kalau kerana mimpi ini
dapat aku berterusan bercinta denganmu
mahu saja
terus aku tidur sebegini
kerana dalam kamar sedar ini
engkau sebenarnya
sudahpun bangun meninggalkan aku..

Wednesday, March 25, 2009

Pautkan Aku, Bintang

Akukah
yang
berpaut
di bucu bintang..

Sunday, February 22, 2009

Kita Yang Terbang

Pilu terbang
jatuh
ke situ
jadi sayu

Sayu terbang
jatuh
ke situ
jadi rindu

Rindu terbang
jatuh
ke situ
jadi kasih

Kasih terbang
jatuh
ke situ
jadi cinta

Cinta terbang
jatuh
ke situ
jadi mati

Mati terbang
jatuh
ke situ
jadi kenangan

Terbang
dan jatuh
adalah aku, kamu
yang sengaja
memalit dosa
di hujung cinta

Tuesday, February 10, 2009

Cinta Sehembus Nafas

Tiada lagikah
Sehembus nafas pun
Ingatanmu padaku..

17/10/06

Monday, February 02, 2009

Mimpi

Tuhan ciptakan
malam dan siang
matahari dan bulan
supaya manusia tahu
mengenal mimpi dan kenyataan

Thursday, January 15, 2009

Sepi III

.
.
. Sepi itu .
. musim hujan paling dingin .
. menyelimut nubari .
. merengkuh perasaan .
. merintik .
. percik-percik rindu .
. yang terpalit .
. di daun kenangan .
.
. Hujan .
. entah bila .
. mahu engkau berhenti? .
.
.

Thursday, January 08, 2009

Maaf Untuk Palestin

Palestin.
Maaf.
Aku selalu saja tertinggal
mungkin juga terlupa
doakan dirimu
di hujung munajatku.

Palestin.
Mungkinkah?
aku pun sepatutnya bersedia
menadah
hujan peluru
tanpa bekalan doa
saudara-saudara kita.