Mingguan Malaysia
Jun 2004
Setiap kali mobil bimbitmu bernyanyi
Kau melarikan diri
Bersembunyi di balik serombong gita cinta
Dan akulah
Pemabuk buta
Menunggu dungu
Untuk kau sahutkan suaranya
Memang engkau tiada pernah berjanji
Akan menantiku di hujung pelabuhan
Dan menyanyikan lagu-lagu kecintaan
Cuma akulah
Penagih rindu
Cuba mentafsir sisir lautmu
Melebihi beban pelayaranku
Tahulah,
Barangkali aku bagimu sekadar
Butir pasir di tubir bibir
Yang akan hanya singgah
Setiap kali badai mendesah
Dan akan engkau singkirkan
Pada setiap hujung keberangkatan
Tahulah aku
Sebelum ombak mahu gelodak
Cintaku itu ditolak
Sebelum sauhku sempat berlabuh
Kemudimu geruh, dan berputar
Kau hilang bagai camar
meninggalkan aku terdampar
Ke laut sasar...
Tanpa layar...
Nanar dan onar...
Azhan Uthmani
Pumpong, Alor Star
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 komen:
pelayaran...demi satu impian
dan kenyataan, yang dibiarkan berlalu bersama ombak..
mana yang harus dilepaskan...
dan kini aku pula sepertimu
menari lalu berlari
mengejar layar
ditengah lautan
tanpa sedar aku lemas
tercungap
mencari tangan yang bisa kugapai
tanganmu
yang selalu menghulur
hilang dibalik layar
yang kau kemudi
terus
dan lenyap
aku?
tenggelam
dengan nadi terakhir...
-cd-
Post a Comment