Sunday, June 05, 2005

Cuba Kubunuhmu Pada Malam

Seri Dewi dan Keluarga
Jun 2005Apabila hari-hari siangku hilang
Lalu cuba kubunuhmu pada malam
Namun mimpi-mimpi sedih itulah yang kau pulangkan
Bayang-bayang wajahmu itulah yang kau jelmakan

Akukah yang selalu membilang?
Sekerdip bintang di langit cerlang
Dan engkau tidak pernah mahu memandang
Sekudup rumput di padang ragut

Lalu,
Biarlah terus kubunuhmu pada malam
Meskipun yang terbunuh itu
Hanyalah mimpimu padaku...

Wanginya Debu Yarmuk

Tunas Cipta
Jun 2005

Debu-debu kasar berterbangan melampias jasad medan Yarmuk. Suara orang bertempik riuh jelas kedengaran seiring rengekan suara unta dan kuda. Nyaring dan ngeri.

“Lari, baginda Heraklius perintahkan kita berundur ke Armania. Berlindung dengan pasukan pemanah.”

Margiteus resah. Topi besi yang menyarung kepalanya melorot sepertiga kepalanya. Lelah benar.

“Celaka, Khalid. Moga tuhan Rom melaknatinya.”

Argenta menyumpah seraya menarik tali kekang kuda meninggalkan medan perang yang masih berdebu. Dalam samar-samar kelihatan ribuan tentera Rom mula mengundur diri.

“Apa sudah jadi dengan Gergorius?”

“Dia sudah mati.”

“Oh, malang sungguh dia.”

“Dia seorang muslim,” tanpa perasaan, Margiteus mengusap-ngusap pedang panjangnya.

“Hah, mustahil. Dia seorang Kristian yang taat.”

“Aku yang bunuhnya.”

Argenta merenung tajam Margiteus yang ralit dengan pedang ukiran matahari bercapah 12 itu.

“Cuma aku kesal… seorang panglima ulung Rom mati di hujung mata pedangku.”

“Siapa gantikannya?”

“Wardan.”

“Dia mana tahu berperang!” Argenta tidak puas hati.

“Dia veteran perang wilayah tengah dahulu. Baginda Heraklius yang beri titah.”

“Bodoh, memberi beban kepada veteran yang sakit. Dia hanya tahu berundur. Pengecut Rom mana mampu menahan libasan pedang orang Islam.”

Bunga-bunga api terpercik ditancap ranting di tangan Argenta. Bara api berpual-pual mengenai sepasang kasut kulit lembunya yang berdebu tebal.

“Kita pernah menawan sepertiga dunia. Kita kalah dengan orang-orang Khalid yang berperang tanpa baju besi. Silap siapa. Merekakah yang kuat atau kita terlalu lemah!”

“Mereka tak takut mati. Mereka menyukai mati seperti mana kita menyukai hidup ini.”

“Kau pernah melihat Khalid.”

“Pernah. Dua kali. Pertama semasa aku mengintip di Parsi. Kedua semasa dia bertarung dengan Gergorius sebelum dia memeluk Islam.”

“Berjanjilah atas kebenaran wahai sahabatku, Margiteus. Apakah begitu gagah insan bernama Khalid itu?”

Margiteus tersenyum senget. Dia menghela nafas lesu sambil melempar pandangan ke butir-butir bintang yang mencorak peta-peta buruj di angkasa.

“Pernah kau dengar dongeng tentera Rom mengenai kegagahan Khalid.”

Terkerut kening Argenta. Rasa ingin tahu menyelinap pepenjuru tengkoraknya. Membuak-buak tanda tanya.

“Tuhan mereka telah turunkan sebilah pedang dari langit kepada Nabi Muhammad lalu diserahkannya kepada Khalid. Dan setiap kali Khalid menarik pedangnya dia menjadi perwira tidak terkalah. Tiada lawan yang dapat mengalahkannya sehingga dia digelar ‘Pedang Allah’ oleh Nabi Muhammad.”

Argenta terpempan. Kagumnya menyelinap mendengar dongengan yang selama ini menjadi kegerunan teman-teman seperjuangannya. Malah menjadi igauan para kaisar empayar Rom Timur dan Barat.

Bagaimanakah askar-askar Parsi yang dirantai besi pemberat di kaki mereka agar tidak lari dari medah perang bisa hancur luluh dengan pejuang-pejuang Khalid? Dia telah menawan laluan para pedagang di kota Tadmur dan menguasai Qaryatain di wilayah Homs. Kemudian satu persatu wilayah Syria jatuh ke tangan mereka. Hawarin, Tsaniat-Iqab dan Busra. Semua lebur. Berderai. Hancur. Askar-askar semut menumpaskan askar-askar gajah. Bala apakah yang menimpa empayarku ini?

“Pedang Allah, dongengmu memang hebat. Mungkin hanya aku seorang dari ribuan pejuang Rom yang tidak mempercayainya.”

Getus mulut Argenta menahan amarah. Margiteus sudah bangun menyarung pedangnya ke sisi kuda perang yang sedang enak menjamah santapan rumput hijau. Dia tampak lesu. Mungkin sesuatu yang berat sedang difikirkan. Episod esok belum tentu hujung pangkalnya.



Perang di bumi Yarmuk bertambah hebat tatkala masuk hari kedua. Ada maruah yang perlu dipertahankan. Angkatan Rom sedayanya mempertahan Syria, wilayah yang dikuasainya di sebelah timur. Manakala pejuang Islam membawa beban melepaskan belenggu kuku besi empayar Rom ke atas Syria di samping mengandar berat menyebarkan dakwah Islamiah. Khalid lantang meniup semboyan perjuangan. Semangat jihad yang terpikul di pundak bagaikan satu azimat menentang 240,000 angkatan Rom biarpun hanya terkumpul 39, 000 pejuang Islam yang berani berkorban demi agama mereka.

Argenta gentar melihat kemaraan tentera Islam yang bagaikan tidak kunjung padam itu. Tatkala dirasakan kekuatan pejuang Islam semakin lemah mereka dipukul keras dari sudut kiri dan kanan medan perang. Margiteus lenyap dalam hiruk pikuk Yarmuk.

“Wahai rakan-rakanku. Tentangan pihak Islam adalah satu lawan enam askar-askar Rom. Kalian bukan anak-anak Rom kalau mati di tangan mereka yang sedikit dan lemah itu.” Argenta meniup semangat rakan-rakan seperjuangannya. Medan juang semakin rancak berdenting-dentang dengan pedang berlagaan. Sesekali terdengar jeritan sakit askar-askar maut. Panjang dan penuh ngilu. Perang memang sesuatu yang kejam untuk diberi rasa kasihan. Benarlah, dalam perang rasa kemanusiaan itu sudah mati!

“Baginda Heraklius sudah melarikan diri ke Constantinople.” Tenggelam timbul laungan salah seorang askar Rom. Tidak pasti mana datang suara itu. Satu kejutan maha besar yang melemahkan ramai askar-askar Rom. Seorang Kaisar merangkap panglima tertinggi telah melarikan diri! Satu tindakan sangat pengecut pada hemat Argenta. Tapi kesannya hebat sekali. Khalayak mula gentar. Mereka tiada lagi suara pimpinan yang akan memudik medan tarung. Daya tempur merosot teruk. Senang-senang nyawa mereka terkulai dan ditawan pejuang-pejuang Islam. Banyak yang mengundurkan diri. Nyawa lebih penting!

“Bukan para kaisar sahaja begitu. Semua panglima tentera sama sahaja. Menyerah tenteranya menyerang barisan hadapan. Mereka menyerang dari barisan belakang. Senang sikit nak melarikan diri. Mengapa perlu takut. Kita berjuang demi Rom dan diri sendiri. Bukan demi Kaisar.” Argenta cuba memprotes semangat askar-askar Rom yang mula luntur.

“Jangan cuba menderhaka kepada Kaisar. Kaisar banyak tugas yang perlu dilakukan. Kita dalam keadaan tertekan sekarang. Tiada yang layak mencorak strategi. Apatah lagi menghitung taktik musuh dan memalu semangat para askar. Kita terpaksa berundur juga.” Seorang askar lingkungan awal 40 menegur Argenta yang kurang berpuas hati. Rasa kasihan muncul dalam dirinya. Memang sukar mencari askar Rom yang segagahnya kini. Tapi apakan daya. Sedangkan Kaisar sendiri melarikan diri. Apalah yang diharapkan oleh askar-askar yang hanya tahu menjunjung perintah. Tanpa jati diri yang teguh.

“Pakcik, tidakkah Khalid juga menyerang dari belakang?” kata-kata itu mematikan lamunan askar itu. Argenta terhinggut-hinggut dibelakang kuda warna coklat gelap, cuba menyaingi kuda askar tersebut.

“Tengok di medan sana.” Argenta menoleh pantas ke medan juang. Dari kejauhan peperangan masih berlangsung biarpun tidak sehebat tadi kerana ramai askar Rom yang sudah melarikan diri. Debu-debu Yarmuk hebat berkecamuk.

“Kenapa?”

“Lihatlah manusia yang paling hadapan di kalangan mereka. Itulah Khalid.” Bola mata Argenta gesit mengfokus. Terakam kegagahan Khalid di kotak mindanya. Khalid sedang mara dengan kudanya. Paling hadapan dan paling handal. Dia menangkis setiap asakan sambil melaung kalam Allah mengobar jihad para pejuangnya. Dia menetak leher-leher musuh. Baginya tiada istilah undur mahu pun takut. Mengapa tiada perwira Rom seperti beliau?

Ketua mereka menyerang paling hadapan tetapi mengapa tidak Kaisarku menyerang paling hadapan. Inikah yang dikatakan pembela marhaen dan penerus empayar Rom. Sudahlah kedengaran kebobrokan orang Istana di Eropah kini semuanya menular ke mana-mana sahaja pelusuk dunia. Pemerintahan kuku besi! Pemeras airmata dan darah rakyat. Apakah ini balasan Tuhan kepada empayar Rom?

Air mata Argenta menitis tanpa sedar. Inikah rasa kehinaan yang pertama kali dirasainya. Kecintaannya kepada Rom sangat tinggi. Ketaatannya kepada Kaisar tiada berbelah bahagi. Mengapa harus dibayar pengorbannya dan askar-askar lain dengan sikap dayus orang-orang atasan. Kuda dipacu Argenta selaju-lajunya. Biar sengsara yang ditanggung terbang bersama deru angin. Dia pasrah. Dalam kesamaran kelihatan kota Damascus berdiri megah. Apakah kota ini sekukuh dahulu? Argenta makin rungsing.

Askar Roma mengalami kekalahan teruk di tangan pihak Islam. Mereka kehilangan 50,000 orang askar yang terkorban. Rata-rata mereka mencari perlindungan di Damascus, Antokiah dan Caesarea serta ada juga menyertai Kaisar Heraklius ke Constantinople. Pertempuran sehari itu meninggalkan satu rekod buruk dalam sejarah perang Rom yang sukar dipadamkan dalam sejarah. Mereka kalah teruk kepada pejuang yang kecil bilangannya dengan alatan perang yang jauh ketinggalan berbanding mereka.

Askar Rom semakin terdesak. Kota Damascus tumpas mudah ke tangan pejuang Islam. Kota itu diserbu tatkala Raja Jabala IV mengadakan jamuan kelahiran anak lelakinya. Khalid bersama beberapa orang tentera Islam berjaya memanjat tembok kota sekaligus membuka pintu gerbang al-Syarqi dan al-Jabiat. Panglima Vartanius yang mengepalai tentera Rom di Kota Damascus terpaksa melarikan diri ke Homs bersama sisa-sisa tenteranya. Raja Jabala IV terpaksa mengirim utusan damai dan memilih membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Argenta melarikan diri ke Antokiah.

“Argenta, warkah dari sahabatmu, Margiteus,” seorang tua menghulur sepucuk surat kepada Argenta. Wajah Margiteus yang tergambar di fikirannya membunuh suasana pagi di Antokiah. Bukankah Margiteus sudah ditawan pejuang Islam di Yarmuk dahulu? Dia masih belum mati?

Argenta,
Sungguh pun surat ini mungkin menimbulkan tanda tanyamu tapi percayalah aku di sini sentiasa sihat dan sentosa di bawah lindungan Allah.

Aku masih hidup. Aku tidak seteruk yang kau gambarkan. Aku diberi makan seperti mana makanan mereka. Aku tidak dikuliti atau ditarik kaki dan tangan untuk disoal siasat. Mungkin kerana inilah yang menyebabkan aku mengenali Allah yakni Tuhanku dan juga Tuhanmu biarpun tempohnya mungkin sangat singkat.

Sahabat, aku tidak terburu-buru. Aku tidak dipaksa seperti pemerintah Rom mengheret rakyat yang tidak membayar cukai di belakang punggung-pungung kuda. Ada satu keheningan di sini. Aku bisa mengenali diriku. Matlamatku dan agamaku yang satu. Semuanya jelas dan terbentang indah di benak sanubari ini.

Argenta,
Khalid tidak sekejam yang kau gambarkan. Dia mungkin keras dan garang di medan juang. Tapi dia masih mampu menghulur roti kepada tawanan yang tahu erti menghormati. Mukanya ketika tenang membuatkan sesiapa sahaja tidak menyangkakan dia itu Khalid, panglima Islam paling agung. Percayalah!

Kau ingat lagi mengenai dongeng Khalid? Pedang yang kononnya diturunkan dari langit. Itu semua dusta. Mungkin itu hanya cerita penakut yang timbul dari pihak lawan setiap kali menentang pedangnya. Pedang Khalid hanya besi yang ditempa seperti pedang lain. Tiada yang istimewa. Khalid semasa dahulu juga seperti kita. Dia penentang Islam dan Rasulnya. Setelah mendapat hidayah dia beriman. Gelaran Pedang Allah hanyalah doa Nabi Muhammad ke atasnya bahawa dia adalah pedang di antara sekian banyak pedang Allah, terhunus bagi menghadapi orang musyrik. Nabi Muhammad mendoakan agar Khalid sentiasa menang setiap perang yang disertainya.

Argenta,
Kau tentu tertanya apa yang menyebabkan aku memilih Islam. Bukan sahaja kerana kebenarannya tetapi kerana keluhurannya. Aku tanyakan pada Khalid. Bagaimana kedudukanku sekiranya aku memeluk Islam berbanding dirinya yang sudah bertahun memeluk Islam. Katanya sama sahaja di sisi Allah malah mungkin lebih mulia darinya sebaik sahaja terungkap syahadah dibibir dan diyakini di dalam hati. Aku sungguh takjub. Sampai begitu sekali. Tanyaku mana mungkin sekali jadi begitu. Kata Khalid dia pernah hidup bersama Nabi dan menyaksikan keajaiban dan petanda keRasulan dan kebenarannya sedangkan orang selepasnya dapat menerima Islam biarpun tidak pernah menyaksi dan berjumpa dengan Baginda, maka tentunya dia lebih mulia.

Mungkin kau menuduhku sebagai pengagum Khalid. Mungkin tuduhanmu itu benar. Tapi percayalah aku mengagumi perjuangannya bukan jasadnya. Cintanya sangat tinggi kepada Allah dan Rasulnya. Itulah yang membuatkan dia tidak gentar melawan asakan musuh. Dia ingin benar mati di medan perang. Tidak seperti kita yang sungguh takutkan kematian kerana kecintaan kepada dunia ini. Aku tertanya-tanya. Kalau begitulah orangnya Khalid. Tentu sungguh agung sekali agama dan pegangan yang dianutnya. Dia setia, jujur, luhur, optimis dan seorang genius perang. Sesuatu yang sukar dicari dalam diri kita sendiri.

Argenta,
Sudilah aku menyeru kepadamu ke jalan kebenaran yang hakiki. Aku tahu selama ini kau dibelenggu ketaatan kepada Rom. Aku masih sayangkan Rom seperti juga engkau. Islam tidak memisahkan kita dengan Rom. Islam bukannya milik bangsa Arab. Di sini aku ketemu orang-orang hitam dari benua Afrika yang selama ini kita anggap hanya layak mengangkat tahi orang-orang atasan. Di sini segalanya sama lantas menyedarkan aku tentang erti kemuliaan insan yang terlalu payah aku dan kau temui di Rom.

Kita tetap sahabat. Agamaku tidak memutuskan rasa kasihku kepadamu. Kau tetap seorang sahabat yang akan ku kenangi selagi hayat ini di kandung badan. Cuma aku harap persahabatan ini lebih manis kiranya dapat kau membuka hatimu menerima hidayah-Nya. Moga Allah menemukan kita, sahabat. Wassalam.

Margiteus
Argenta merenyuk surat di tangan. Ada kepedihan menjalar ke ulu hati. Sakit dan perit. Apakah ini benteng ego paling tinggi yang cuba ditahannya atau bahana pembelotan dari sahabat sejati. Argenta mengumalkan tangan membiarkan tulang temulang jarinya berderap.

Pejuang-pejuang Islam mara ke utara Syria yang dipertahankan Kaisar Heraklius. Kota Homs jatuh tersungkur sebaik sahaja barisan Rom di Balbek tumpas. Bertempurlah tentera Islam menentang tentera Rom di kota Aleppo yang terkenal kukuh berabad-abad lamanya itu. Allah membantu pihak Islam dengan kemenangan yang dijanjikan-Nya. Pihak Rom berundur ke benteng terakhir di Antokiah. Tentera Rom diperintah membuat serangan habis-habisan mempertahan kota. Mereka ditekan hebat pejuang Islam.

Argenta memerah keringat di medan perang. Dia menghayun pedang sesuka hati. Tidak mengira musuh atau kawan. Hatinya berbelah bahagi. Terdetik dihatinya kebenaran kata-kata Margiteus tetapi keegoan mengatasi segala-galanya.

“Argenta! Kuasa Allah telah menemukan kita.” Argenta tertoleh. Ditatapnya manusia dihadapan. Gagah dengan selubung hitamnya. Darah yang mengalir di bucu kening menyukarkannya mengenal pasti insan itu. Pedang berukir matahari menyedarkan tanda tanya Argenta.

“Kau Margiteus”

“Apa khabar sahabatku.” Margiteus tersenyum menatap sahabatnya.

Argenta rasa terpukul dengan ketenangan yang tergambar di wajah sahabatnya itu. Nampak jelas dia gembira dengan kehidupannya kini. Penuh keyakinan.

“Pembelot, kau mengkhianati bangsa Rom,” Argenta cuba memancung kepala Margiteus.

Margiteus tenang menahan. Mereka bermain pedang. Sesekali pedang mereka bersilang. Margiteus tenang mendakwah sahabatnya.

“Berimanlah kepada Allah, sahabatku. Kau boleh berdamai dengan pihak Islam sekiranya bersetuju membayar jizyah melainkan tiada kemampuan membayarnya. Kami berjanji akan memberi perlindungan. Kau tetap boleh menjadi sahabatku. Rom tetap megah malah akan lebih bersinar dengan cahaya Islam.”

“Diam, pembelot!” Argenta naik berang. Mereka bertarung hampir lelah.

“Jangan tipu diri kau Argenta. Jangan mendustai hidayah yang Allah turunkan padamu. Apakah akan kau biarkan rasa bongkak dan ego menguasai dirimu?” Margiteus tidak putus-putus berbicara.

“Percayalah cakapku. Kebenaran itu sudah kau ketemu dalam dirimu. Cuma kau masih ragu-ragu padahal ianya jelas di hadapan mata. Lihatlah dunia yang kita harungi ini. Adakah Rom megah seperti kau banggakan. Adakah Rom yang dibohongi dengan mitos dan kemustahilan menyekat nur ilahi yang menyuluhi dirimu. Bangunlah sahabat.”

“Tutup mulut kau atau aku akan penggal kepala kau menjadi makanan anjing-anjing Kaisar,” amuk Argenta semakin menjadi.

Dia melawan kebersalahan yang dipendamnya. Benarkah dia membohongi dirinya. Kalau dia benar mengapa hatinya memberontak. Menjerit meminta kebebasan dan kebenaran. Ah..., aku benci semua ini!

Dalam termanggu pedang Argenta terdesak ke tepi. Memberi peluang terbuka kepada Margiteus untuk memancung kepala Argenta. Argenta terbeliak memerhati mata pedang Margiteus jatuh betul-betul di hadapan mukanya. Tangan Margiteus menggigil. Dia cuba mengelak dan ini memberi peluang kepada Argenta mencuri kemenangan. Perut Margiteus dirodok sehingga menembusi belakang badannya. Darah memancut-mancut menyimbah muka Argenta. Rasa sesal menyerkup naluri Argenta. Pantas dia merangkul Margiteus yang hampir tersungkur. Kedua-duanya lembik. Lesu.

“Lepaskan sahaja aku, Argenta. Uhh…. . Bukankah aku pembelot Rom dan mengkhianati persahabatan kita?”

“Kau boleh memancung kepala aku tadi. Mengapa tidak kau lakukan? Aku lebih rela mati. Aku rasa sungguh bosan dan benci pada diriku.”

“Tahukah kau dalam Islam… membunuh seorang manusia itu bagaikan membunuh seluruh umat manusia. Kami dibenarkan membunuh orang yang menentang agama kami secara kekerasan. Itupun kepada yang mengangkat senjata. Tiada pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tua serta uzur…. Ohhh”

“Akulah yang menentang kau dan agamamu. Mengapa tidak sahaja membunuhku.”

“Apakah ada pedang Rom yang paling berat melainkan pedangku. Pedang yang terpaksa aku jatuhkan kepada leher seorang sahabat sejati. Betapa pedih kau mendustai dirimu mungkin pedih lagi diriku memikirkan persahabatan ini. Aku tak mampu menyisihkannya. Aku berdosa terhadap agamaku... Allahhh...”

“Tidak, Margiteus. Agamamu sememangnya ialah kebenaran yang ku cari. Cuma aku khuatir kau sudah melupakan persahabatan kita. Aku terlalu bongkak dan ego. Aku menipu diriku! Aku menipu kau wahai sahabat! Maafkan aku.”

“Cukuplah kau tahu betapa dalamnya persahabatan ini. Ingatlah, dalam Islam kemanusiaan itu tidak hilang meskipun dalam peperangan. Kita bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana-Nya. Kalau kau mengasihi aku. Inilah aku yang kau lihat akan mati. Kalau kau menyintai kehormatan dan kemegahanmu semua itu juga akan mati dan binasa. Tapi sekiranya kau menyintai Allah, Dia sesungguhnya tidak pernah mati ataupun tidur…”

“Sungguh Margiteus. Aku bersumpah dengan nama tuhanmu. Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, Muhammad. Apakah aku akan membohongi diriku lagi di saat kau begini..?”

Margiteus menahan perit tusukan pedang. Bisa-bisa tusukan menjalar ke pelusuk jasadnya. Dia tersenyum mendengar keimanan Argenta. Perlahan-lahan jasadnya kaku mengiringi lafazan syahadah di mulut. Argenta teresak-esak meratapi sahabatnya. Perang dirasanya sunyi. Sepi.

Perang makin larut. Kota Antokiah jatuh ke tangan Islam. Bermulalah empayar baru dalam penyebaran Islam dan pelepasan kuasa kuku besi dari kaum musyrikin. Khalid gagal memenuhi citanya syahid di medan perang. Dia khabarnya kesal mati di pembaringan yang baginya laksana mati seekor unta.

Sehingga berkatanya Umar r.a. “Tidak seharusnya bagi wanita-wanita keluarga Khalid untuk menghentikan tangisannya selagi airmatanya tidak kering.”

Argenta menyambut berita kematian Khalid di Antokiah dengan benangan air mata. Segagah manapun Khalid, dia tetap mati apabila tiba ajalnya. Argenta memandang langit. Mendoakan kesejahteraan Khalid dan sahabatnya, Margiteus. Moga dicucuri rahmat. Detik hati Argenta. Kalaulah Khalid umurnya panjang mungkin nur Islam menerobos seluruh Eropah!

*Rujukan – Siri Sahabat Nabi, Khalid Al-Walid & Abu Hurairah, K Publishing & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1990