Tuesday, December 30, 2008

Adik, Usahlah Bimbang

Adik,
air di Gaza sudah kontang.
tapi, usahlah bimbang
kerana kita
masih punya air mata
untuk dihirup
sebagai penyambung nyawa

Tuesday, December 02, 2008

Senyum Di Dalam Hujan

Hujan yang membasahi
tubuhku
dan angin yang mendingini
belulangku
adalah senyumku
yang tersisa
pada lecak
kehidupanmu..

Friday, November 14, 2008

Biarlah Aku Gulanya

.
.
.

Kalau hatimu itu kopi
Izinkan aku menjadi gulanya..

.
.
. . . . . . . . .
.
.
. . . . . .

Wednesday, November 05, 2008

Aku Mahu Jadi Apa?

(dari seorang wanita)

Aku mahu jadi raja
Tapi aku orang biasa
Aku mahu jadi pari-pari
Tapi aku tiada sakti
Aku mahu jadi tentera
Tapi aku takut tercedera
Aku mahu jadi puteri
Tapi aku tidak punya negeri
Aku mahu jadi politikus
Tapi aku orangnya lurus
Aku mahu jadi kaya
Tapi aku tak pandai berniaga
Aku mahu jadi isteri
Tapi aku tiada suami
Aku mahu jadi pemuisi
Tapi kata-kataku basi
Aku mahu jadi pujangga
Tapi aku tidak punya otak geliga
Aku mahu jadi pendamai
Tapi aku dirasuk mamai
Aku mahu jadi wanita
Tapi aku masih remaja
Aku mahu jadi tinggi
Tapi aku tak cukup inci
Aku mahu jadi emak
Tapi aku tiada anak
Aku mahu jadi pensyarah
Tapi aku tiada ijazah
Aku mahu jadi penyanyi
Tapi suaraku tidak berseni
Aku mahu jadi pelakon layar
Tapi aku selalu gementar
Aku mahu jadi pengarah
Tapi aku selalu marah
Aku mahu jadi dewi remaja
Tapi aku tiada rupa
Aku mahu jadi lelaki
Tapi aku si gadis sunti
Aku mahu jadi sahabat setia
Tapi kawan-kawanku ramai pendusta
Aku mahu jadi tukang masak
Tapi laukku selalu berminyak
Aku mahu jadi angkasawan
Tapi aku takut merempuh awan
Aku mahu jadi pelumba
Tapi aku takut kehilangan nyawa
Aku mahu jadi jurutera
Tapi aku tak kenal jentera
Aku mahu memeluk dunia
Tapi tanganku hanyalah dua
Aku mahu jadi pencinta
Tapi ramai lelaki buaya
Aduh,
Aku mahu jadi apa sebenarnya?

Dan
Kata ibu,
Aku hanya perlu tidur yang lena
dan jadi anak ibu yang berguna
Dari terus memikirkan
Aku mahu jadi apa..

13 Julai 2004

Wednesday, October 29, 2008

Tiada Aku Lupa

(dedikasi untuk teman Industrial Design, PJB 1999-2001)

Silau kalimantang hijau berkelkatu itu
Senang sahaja mengingatkan aku
Pada hari-hari kita yang lalu
Dan masa-masa kita yang rindu
Teman,
Apa lagi yang mampu kuimbau?
Selain menyelak potret-potret lama
Yang menceritakan laman kenangan kita

Tiada aku lupa
Bingit jukebox Cromox dan gusti The Rock,
Sedih lagu raya Raihan dan bicara Melayu Shah Rukh Khan
Sabar memancing udang kolam
Dan menyanyi girang di atas buaian taman permainan
Teringat pada prebet sapu yang berbicara lucah
Lalu aku dipaksa pasrah
Sepanjang deret kedai dan jirat-jirat mati
Dan kalian mendesah resah
Menanti tiba ke pintu rumah

Di bangku ABC
Kita enak dengan teh tarik dan roti canai
Mencecap lazat nasi ayam dan asap rokok
Kita bebas membicarakan apa sahaja
Tentang cerita-cerita kemanusiaan dan kecintaan
Selalu kita terleka pada gadis-gadis cantik
Dan kita pun nakal mengusik
Dan tumpah panas teh dihujung kaki
Membuatkan aku kepanasan menari
Gelak tawa kita pun berseri

Kita kerap terlena
Di sofa jerami menyudahkan kertas kerja
Dipaksa menjadi jurnalis, tukang kayu dan pengutip sampah
Kita dilalikan dengan pujian dan cacian pensyarah
Diserabut dengan idea tak tercurah
Memudiki stationery dan kilang besi
Risau pada wang ringgit
Dan terima kasih
Kerana kalian selalu menghulurkan
Apa yang tidak mampu aku bayarkan

Teman,
Ketika kalian berlabuh di hentian Masai
Dengan hati menahan derai
Apa lagi mampu ku tahan
Selain keterharuan
Dan benang air mata dan rasa
Dan kita pun hilang
Tanpa ketemukan..

21 Julai 2004

Monday, October 20, 2008

Gula-Gula dan Nota Cinta

Ingatkah?
Ketika wajahmu kusut
dan kau mengerekot di sudut kamar hospital
bicaramu, kesunyian begitu merobek

Aku nekad mengunjungimu
pada lewat petang itu
ketika jeriji besi sudah separuh tertutup
bersama bekal gula-gula
dan secebis nota cinta

Kalaulah rindu itu
manisnya seperti gula-gula
dan cinta itu
kekalnya seperti di dalam nota cinta
mahu saja aku pulangkan
segala ingatanku padamu
supaya aku menjadi si pelupa
yang tidak mampu mengingati apa-apa

Thursday, October 16, 2008

Preskripsi Air Mata

-Depresi
Sakit mental-

Satu malam
kau hulurkan padaku
preskripsi doktor
bersama sebejana air mata

Tuesday, October 14, 2008

Malam Kebenaran

Malam itu tidak hujan
Angin pun tidak mahu menegur
Engkau pula bersembunyi di hujung air mata

Dan aku terbiar
membaca keputusan
pada perca kebenaran
yang kau tulis luka di dalamnya

Friday, October 10, 2008

Mak, Janganlah Gaduh Lagi

Mak.
Uji itu milik Tuhan.
Dan biarlah sabar itu milik kita.

Mak.
Janganlah gaduh
dengan ayah lagi ok.

Tuesday, October 07, 2008

Ingatanku Padamu

Ingatanku padamu
sudah lama
terbakar
menjadi abu
menerbangkan rindu
dan hujan pun tidak mampu
menghapuskan dosa
yang tertampal
di penjuru kota

Shah Alam
30/08/08

Monday, September 22, 2008

Bapak, Kami Minta Maaf

Bapak
maaflah
kalau kami tidak kenal
apa itu merdeka
melebihi kami kenal
apa itu susu
dan petrol

Bapak
maaflah
barangkali
susu dan petrol
itu lebih penting
dari kami terus-terusan menjaga
merdeka
yang tidak punya erti apa-apa

Sunday, September 21, 2008

Sepi II

Katamu
aku laut luas
engkau langit bebas
sumpahmu di hujung ufuk kita bertemu
dan bercantum menjadi satu garis
tetapi
setelah aku menjadi laut
tahulah aku
bahawa engkau memang tidak pernah
mahu menjadi langit
dan aku cuma laut penuh cemar
buat engkau, si camar
yang mengoyak luka di dadaku

Saturday, September 20, 2008

Izinkan Aku Bertemu Eve

[Cerpen pilihan untuk laman web e-Sastera 2005]

Aku AD4M - perajurit klon yang pertama. Aku mencari Eve, wanita yang dikatakan manusia klon pertama dan dikomersilkan oleh Clonaid itu. Ah, pertama dan kedua itu tidak penting. Aku mahu bertemunya. Aku sudah tidak punya sesiapa pun di dunia ini. Aku menjadi buruan tentera. Aku cungap diburu FBI dan CIA, juga diintip Pentagon. Aku benar-benar sudah lelah.

Sudah lama aku mencari diriku dan apabila kepastian itu semakin hampir apa yang dapat dilihat hanyalah kesakitan dan penipuan. Aku menjadi bidak propaganda dan boneka yang diogak-ogakkan mereka.

Kata Richard, aku tidak punya ayah, hanya punya ibu tumpang yang kemudiannya hilang. Lahirku secara pemindahan nuklear, terwujud dari genetik telur tanpa nukleus. Entah sel somatik siapa yang digunakan untuk penciptaanku ini, aku tidak tahu. Lahirku ini dibayar. Aku melepasi lapis-lapis birokrasi tertinggi dan cetusan mental ilmu sains biogenetik daripada para saintis gila yang ingin menjadi Tuhan. Aku dibar codekan di bahu kanan, berupa garis-garis hitam seakan tatoo dan disintesiskan dengan minda pakar-pakar perang dan ahli falsafah dunia. Sun Tzu, Saddam Hussin, Karl Marx, Hitler, Shih Huang Ti, Saladin dan sebut saja siapa? Aku tahu semuanya.

Duniaku hanya untuk bunuh dan bunuh dan bunuh. Aku dibelenggu dalam sel yang serba menyerabutkan. Otakku disumbati raifal, mesin gan, pistol, mortar, bom dan banyak lagi. Aku kenal apa itu Kalashnikov AK47, M16 A2, Mossberg Persuader Shotgun, AMT 1911 Hardballer, Pentagon Knife, Franchi PA3/215, Desert Eagle Mark XIX dan entah apa lagi yang kalian semua tidak akan tahu sama sekali.

Aku diajar meletupkan bangunan dan manusia, mematikan bom, menembak secara tepat, memandu pesawat pejuang, kereta kebal, kapal perang dan kapal selam nuklear serta beribu aksi lagi yang hanya mampu dilakukan oleh sebatalion askar perang. Kata mereka, lahirku ini adalah keamanan dan cahaya. Aku tidak mengerti dan tidak pernah mahu memahaminya tetapi apa yang diajar kepadaku pada saban malam ialah ‘Bunuhlah Demi Keamanan Amerika!’. Kata itulah yang digetarkan ke impuls telingaku. Kata itulah yang diulang ucapkan sehingga melekat kejap ke sanubariku. Berkali-kali. Berhari-hari.

Suatu malam aku senang saja terjaga ketika debuan simen di pelusuk sel sedang menghembus mukaku. Sinar bulan begitu indah membentangkan dunia luar sana yang menggamit dan memanggilku mencari natijah kelahiranku ke dunia ini.

Kandahar, Afghanistan – Aku melihat duniaku yang pertama di sini. Aku membunuh manusia yang bernama Taliban dan Al-Qaeda. Aku lihat ramai manusia mati di segenap penjuru. Di sudut kakiku ada wanita yang terburai perutnya. Ususnya yang carik itu berjurai bergantung-gantungan dengan darah menitik pada jendela yang hanya tinggal bingkai dan dinding sekerat. Ada seorang anak kecil, muka berceloreng belerang hitam dengan rambut kusut perang sedang menjerit. Ada air mengalir dari kelopak matanya dan tangisan itu seakan menikam-nikam sanubariku. Tapi aku tiada perasaan apa pun. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengeluarkan air dari kelopak mata seperti itu. Aku tidak pernah diajar. Kesakitan sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Rasa takjubku hanyalah pada dunia ini yang luas berjajar dan manusia-manusianya yang bergerak sepertiku dalam pelbagai rupa. Menangis. Mengapa perlu menangis?

Aku melihat Simon ketawa girang sambil memijak jasad-jasad kaku, mangsa peluru balistik dari pesawat pejuang tanpa juruterbang, X-45A. Isterinya turut menangis seperti kanak-kanak tadi dan memaki hamun Simon. Lalu ditembaknya mati, dirobeki peluru H&K MP5! Berlubang-lubang jasadnya hancur bersepai. Sejak itulah aku tahu erti ketawa. Ketawa itu lawannya tangisan. Ada tangisan maka adalah ketawa. Begitu kata Simon. Lalu aku tega membunuh sesiapa sahaja dan ketawa. Itu satu nikmat yang tak terucap. Ketawalah!
Ah, rasanya aneh sekali. Manusia itu tahu sahaja mencipta sesuatu yang melampaui keterbatasan diri. Aku cukup kagum. Dan kerana kekaguman itu jugalah aku menjadi seorang abdi yang taat menyujud titah dan perintah para saintis gila itu. Mereka kata mereka penciptaku. Mereka lebih dari seorang ayah mahu pun seorang ibu. Merekalah kawan dan merekalah kekasih.

Aku yakin kewujudan Eve sama sepertiku Cuma aku tidak tahu untuk apa Eve itu diciptakan. Aku cuba memikirkan dan banyak pula perkara yang aku tidak mengertikan.

Bali, Indonesia – Pusat hiburan itu musnah aku letupkan. Puas...? Entahlah. Kematian sudah tiada rasa apa-apa bagi diri ini. Dalam hiruk pikuk jeritan yang melolong siapa akan menyangka aku adalah salah seorang daripada dalangnya. Richard pernah memberitahu, kalau mahu sembunyi daun biarlah di dalam daun juga. Seperti diduga, hebohlah CNN dan media-media dunia lainnya, kata mereka angkara pengganas dan militan Islam walhal akulah salah seorang pelancong di pusat hiburan itu. Tapi aku peduli apa. Tugasku sudah selesai.

Malam itu aku gesit berangkat pulang. Lebih awal dari sepatutnya. Indonesia tiada apa-apa selain kegawatan warga, politik dan ekonominya. Tiba di makmal, bar codeku diimbas. Ada cahaya merah menggelintar kiri dan kanan bahuku. Pintu dibuka senyap. Aku lihat Richard sedang ralit menatap bait-bait hijau pada skrin komputer. Berkelip-kelip kaca matanya membiasi sinar skrin. Aku merapati belakang Richard, perlahan dan tanpa sedar.
Richard,
Ini arahan Presiden. Segerakan penciptaan rejimen askar klon halimunan. Kita ada misi di Iraq. AD4M akan mengetuai askar klon itu di barisan hadapan. Biarkan mereka mati di sana. Bunuh mereka kalau hasilnya gagal. Askar manusia kita siap sedia di belakang.
“Kau mengkhianati aku, Richard?” Aku menarik keluar Desert Eagle dan mengacu ke rusuk Richard.

“Err..., kau sudah pulang AD..., kau salah faham sebenarnya... Dengar dulu penjelasan aku....” Richard menggelisah. Mukanya pucat. Gusar dan panik bercampur baur.

“Setidak-tidaknya kalian perlu menghormati aku sebagai seorang manusia!”

Bammmm!! Tangan terhinggut. Bau belerang menusuk hidung, berasap-asap. Perut Richard memercik darah. Dia terhuyung-hayang sebelum terjelepuk jatuh. Sempat dicapainya sebuah bangku lalu diketiakkan, menampan beban diri yang kian perit dan pijar.

“Uhh... Aduhh... Dengar dulu kataku, AD. Aku belum memutuskan apa-apa kepada mereka. Mustahil aku mengkhianati kau... Percayalah!”

“Kalian bermuka-muka. Kalian beritahu semuanya demi keamanan Amerika. Benarkah Amerika akan aman dengan kelahiranku? Penipu! Aku hanya patung dan alat, Richard. Kelahiranku sia-sia. Kalian peralatkan aku bagaikan aku tidak punya nyawa!” Bicaraku bergetar dalam kemarahan yang memuncak.

Richard bersuara payah, “Aku pernah merasai erti kehilangan. Demi kecintaanku pada negara dua anakku diragut nyawa mereka ketika Perang Teluk. Amerika tidak pernah memberi apa-apa kepada kesetiaan bodohku dan sekarang mereka mahu menggadaikan engkau yang sudahku anggap sebagai anakku sendiri. Aku tak sanggup lagi kehilangan manusia yang aku sayang. Aku nekad mahu musnahkan makmal ini. Aku sudah melenyapkan mikrocip di dalam otak kau. Kau bebas sekarang. Mereka tidak dapat mengesan kau lagi. Aku sudah tidak punya sesiapa di dunia ini selain kau, AD. Kau anakku. Kau adalah klonku. Uhh..,Uhhh... !”

Mata Richard basah dengan air mata, bersungguh dia cuba memberitahu. Ada lelehan darah keluar dari bucu bibirnya. Hatiku tiba-tiba rasa disayat, jasadku seperti dirabik-rabik lumat dan carik. Sangat luka dan menyakitkan! Aku pantas meribai. Air mataku jatuh titis demi titis membasahi wajah Richard, kurasa hangat buat pertama kalinya.

“Kau menangis, AD?” Richard seakan terkejut. Tanganku digenggamnya erat.

“Aku juga manusia sepertimu.” Aku membalas genggaman Richard dan dia tersenyum pahit.

Dalam silau pandang yang kian pinar dan kabur, Richard berbicara lagi. Tersekat dan tertahan-tahan.

“Manusia sedikit pun tidak pernah berkuasa. Aku senang sahaja menciptamu. Tapi rasa manusia dan perasaanmu itu hanya Tuhan yang berkuasa menciptakannya. Kau mesti lari jauh, AD. Jangan kembali ke sini lagi.”

Kata itu berakhir dengan tangannya terlayu lembik. Lehernya terkulai dan tubuh mula mendingin. Richard mati kerana Amerika sedangkan Amerika tidak pernah mati kerana Richard! Adilkah? Sama seperti Richard, aku sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini. Apakah ada manusia yang akan memahami dan menyayangi manusia klon sepertiku? Siapakah lagi?

Aku terus amuk. Komputer-komputer makmal dan balang-balang uji kaji kutembak hancur. Semua sebatian dan campuran kimia yang masih panas dan terjerang pecah berderai mengotori dinding makmal, busuk dan tengik menyucuk-nyucuk hidung. Sesetengahnya terbakar bersama api meratahi kertas dan fail-fail yang kurasakan satu pembelotan. Makmal kelahiranku meletus hebat, berdentum-dentum. Jasad Richard kubiarkan aman menjadi debu. Tiada apa lagi di sini untukku. Aku harus larikan diri. Jauh dan terus jauh.

Kuala Lumpur, Malaysia – Inilah hentian terakhir persinggahanku. Rasa selamat benar berada di negara ini. Kerana keamanan negara inilah aku dapat lolos dari buruan. Ini rantau tanpa peperangan. Kedaulatannya dihormati! Tiada lagi gangguan Amerika di sini tetapi entah sampai bila! Bukankah Amerika senang sahaja menceroboh negara lain atas dasar keamanannya?

Aku berjanji akan menculik Eve dan membawanya sembunyi di sini. Tapi aku tetap berasa bersalah kerana kewujudanku ialah untuk membunuh sekian banyak manusia suci, kononnya atas dasar demokrasi dan keamanan. Aku menjadi implementasi bernyawa yang dieksploitasikan. Mereka silap! Bukankah aku masih punya nyawa, nafsu dan minda yang tak upaya mereka ciptakan? Sampai bila-bila pun mereka tidak mampu.

Kerana itulah aku menjadi si gila yang pendendam. Dendamku kerana diperalatkan. Dendamku kerana diciptakan. Dendamku kerana natijahku adalah dibunuh hanya kerana eksperimen penghasilanku ini adalah GAGAL. Dendamku juga adalah kerana bakal terwujudnya satu rejimen askar klon buta hati untuk dikambinghitamkan dalam setiap agenda perang mereka. Manusiakah aku sekiranya membiarkan bangsaku sendiri dibunuh oleh mereka yang mengheboh bangga menciptakannya?

Jaga-jaga, Amerika! Apabila sudah aku ketemukan Eve, akanku setubuhinya. Akanku lahir dan sebarkan bangsa-bangsaku ini dan mereka akan kulatih untuk mengonarkan Amerika kelak. Dan apabila aku rasakan tidak puas meladeni dendam ini, akan aku hancur luluhkan seluruh umat manusia. Biar bangsa klon merajai dunia ini dengan aman agar mereka tidak memandang rendah dan menghina bangsa-bangsaku. Biar manusia tahu dendam bangsa klon apabila dirinya dikhianati dan diabdikan! Tatkala itu, tiada siapa lagi yang dapat menghalang! Tiada siapa!

Friday, September 19, 2008

Rokok

[Dideklamasikan sempena Malam Santai Puisi di kampus Shah Alam, UNISEL, 2004]

[Tukang Baca : Tuan punya sajak]

Ini bukan cerita tentang siapa-siapa
Cuma cerita tentang rokok, rokok, rokok dan rokok
Rokok yang hanya ada tembakau dan api
Rokok yang juga dipanggil sigar, cigarrete, cerut, paip, syisha
Rokok yang macam-macam jenama
Ada Dunhill, Marlboro, Salem, PallMall, LM, Lucky Strike, 555,
Gudang Garam, Camel, Perilly’s, More, White Horse, Davidoff, Benson, Rothmans, Sampoerna, Kent dan banyak lagi
Tapi aku hisap Winston, 'pushing the limit'
Maklumlah jimat belanja
Bagi seorang manusia biasa....

Kata mereka
Aku penagih nikotin, ammonia, gam kasut, karbon monoksida,
Racun lipas, asap lori, racun tikus, ubat gegat, tahi lembu
Dan entah apa lagi racun yang beracun
Tapi aku merokok juga

Kata mereka lagi
Bronkusku akan mereput bronkiolku akan mengecut
Paru-paruku akan terbakar serebrumku akan geletar
Aku diingat tentang barah paru-paru, gigi rongak, nafas semput,
Mati pucuk dan entah apa lagi penyakit pelik-pelik
Tapi aku merokok juga

Aku merokok, Kawanku merokok
Pensyarahku merokok, Cikguku pun merokok
Datukku merokok, Nenekku pun pernah merokok
Ahli politik merokok, Pemain bola pun merokok
Ustaz merokok, Doktor pun merokok
Penagih dadah suka merokok, Pemandu bas pun suka merokok
Budak-budak tak elok merokok, Perempuan merokok lagi tak elok
Pendek kata semua orang merokok

Rokok tiada kasta, Rokok tidak pandang rupa
Rokok tidak lihat harta, Rokok tidak lihat baki wang bank
Rokok itu ukhuwwah, Rokok itu sahabat
Rokok itu kawan, Rokok itu rakan

Mereka katakan tak nak
Tapi di panggung wayang ada iklan arak
Mereka mahukan sukan tanpa rokok
Tapi Liverpool menjaja Carlsberg
Malaysia masuk piala Tiger
Mereka melihat aku sebagai penjenayah
Sedangkan aku tidak membuat salah

Aku rakyat Malaysia, Aku ada jiwa
Aku ada IC, aku keluar mengundi
Aku pergi kenduri, Aku tengok orang mati
Aku tak merogol, Aku tak mencabul
Aku tak meragut, Aku tak mencarut
Aku tak membunuh, Aku tak merusuh
Aku tak merompak, Aku tak melepak
Aku tak menyamun, Aku tak menghamun
Dan aku cuma merokok, merokok, merokok dan merokok

Aku bukan manusia kelas dua, Aku seorang mahasiswa
Akademi aku bagus, Periksa aku lulus
UPSR aku lulus, PMR aku lulus, SPM aku lulus
Lesen kereta aku lulus, lesen motor aku lulus
Aku bayar saman, Aku tak pernah direman
Aku tak hisap ganja, Aku tak layan marijuana
Aku tak pergi disko, Aku tak main ekor
Aku tak main perempuan, Aku tak langgan jalang
Dan aku cuma merokok, merokok, merokok dan merokok

Rina,
Aku tak pernah dibunuh rokok
Tapi kaulah yang membunuhku
Dan apabila kau meleraikan cinta kita kerana rokok
Aku hanya mampu tertanya
Apakah aku tidak cukup setia....

13 Julai 2004

Thursday, September 18, 2008

Tsunami Membunuh Kami

[Dideklamasikan pada Malam Puisi Tsunami anjuran Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat, Universiti Industri Selangor 2005]

[Tukang Baca - Mohd Navi Yusof]

Tsunami,
Tsunami telah membunuh kami
Tsunami membunuh Ahmad, Majid dan Hamid
Tsunami membunuh Puspadewi, Susanto dan Srianto
Tsunami membunuh Ah Lim, Kit Chong dan Chew Meng
Tsunami membunuh Sarjit, Rajendran dan Surendran
Tsunami membunuh Edward, Richard dan Peter
Tsunami membunuh Samraak, Thailoong dan Paradorn
Tsunami membunuh Kanu, Djemba, Mbomba
Tsunami tak kenal warganegara
Tsunami tak kenal kad pengenalan
Tsunami tak kenal warna kulit
Tsunami membunuh kami

Tsunami,
Tsunami telah membunuh kami,
Tsunami membunuh abah dan mama
Tsunami membunh datuk dan nenek
Tsunami membunuh adik, kakak dan abang
Tsunami membunuh suami dan isteri
Tsunami membunuh kawan dan musuh
Tsunami membunuh pak long dan mak long
Tsunami membunuh tok imam, tok bilal dan tok siak
Tsunami membunuh sami, paderi dan pendeta
Tsunami membunuh pemain bola, pemandu tuk tuk dan dan budak tadika
Tsunami membunuh cikgu sekolah, pensyarah dan ustazah
Tsunami membunuh pomen basikal, nelayan dan petani
Tsunami membunuh posmen, pelancong dan pengait kelapa
Tsunami membunuh pegawai kerajaan dan pegawai pembangkang
Tsunami tak kenal agama
Tsunami tak kenal pangkat
Tsunami tak kenal bangsa
Tsunami membunuh kami

Tsunami,
Tsunami telah membunuh kami
Tsunami membunuh lembu, kambing dan kerbau
Tsunami membunuh ayam, itik dan angsa
Tsunami membunuh kucing, arnab dan anjing
Tsunami membunuh tenggiri, siakap dan haruan
Tsunami membunuh sawi, daun sup dan kunyit
Tsunami membunuh rumpai laut, plankton dan terumbu karang
Tsunami membunuh siput babi, lipan bara dan tikus tanah
Tsunami membunuh semut, cacing tanah dan anai-anai
Tsunami membunuh kumbang, burung layang-layang dan belalang
Tsunami membunuh obor-obor, kuda laut dan ikan nemo
Tsunami tak kenal makhluk
Tsunami tak kenal spesies
Tsunami tak kenal habitat
Tsunami membunuh kami

Tsunami,
Tsunami membunuh rumah batu, rumah papan dan rumah batu papan
Tsunami membunuh sekolah, balai polis dan balai raya
Tsunami membunuh padang bola, pantai dan sawah padi
Tsunami membunuh jeti, pelantar dan jambatan
Tsunami membunuh tongkang, kereta dan van
Tsunami membunuh basikal, motosikal dan beca
Tsunami membunuh sampan, perahu dan kapal laut
Tsunami tak kenal bangunan
Tsunami tak kenal bahan binaan
Tsunami tak kenal kenderaan
Tsunami membunuh kami

Tsunami,
Tsunami bunuh semuanya
Tsunami tak kasihan sesiapa pun
Tsunami bunuh semuanya
Tsunami tak mahu dengar kami menangis
Tsunami bunuh semuanya
Keluarga, binatang dan bangunan kami
Kenderaan, tanaman dan tempat kediaman kami
Tsunami bunuh semuanya

Tsunami,
Kalau benarlah ini perutusan Tuhan yang Maha Agung
Kami insan terasa kerdil dan kecil
Kami insan terasa dosa dan pahala
Kami insan terasa noda dan sengsara
Kami insan terasa bala dan bencana
Tatkala manusia bagai siput-siput reput
Tahulah kami
Nyawa itu bila-bila masa sahaja bisa dijemput

11 Januari 2005

Monday, September 15, 2008

Tag 'Sakit'

Nak jimat punya pasal aku design tag ni guna hitam putih saja. Print satu dan fotostat banyak-banyak. Duit banyak habis kat prop, t-shirt dan banner.

Kain Rentang 'Sakit'

Buat pertama kalinya Paku Payung buat banner untuk teater. Banner ni besar. Lebih kurang 7 kaki lebar. Kami gantung di pintu masuk Pusat Komuniti Pelajar (PKP). Memang anggun dan menarik siapa saja yang lalu lalang depan PKP tu.

Pamflet 'Sakit'




Sunday, September 14, 2008

Kemeja T 'Sakit'

T-shirt 'Sakit' ni aku design sendiri juga. Simbol-simbol di baju ni memang mewakili jalan cerita 'Sakit'.

1. Tiga orang lidi saling berpegangan tangan mewakili watak penting yang menjadi teraju utama 'Sakit'.
2. Garis berpusing seakan huruf 'S' membawa maksud 'Sakit'. Juga membawa maksud sayap pari-pari, salah satu watak yang muncul dalam teater ni.
3. Kotak panjang bergaris seperti tab 'gitar' membawa maksud lagu dan irama, juga salah satu watak yang dibawa oleh pemuzik dan penyanyi.

Harga t-shirt RM20. Tapi harga istimewa untuk kru RM10. Selebihnya diambil daripada duit subsidi hasil kutipan tiket teater. Sikit untung pun tak ambil. T-Shirt ni edisi terhad lagi rare untuk dipakai semasa pementasan teater. T-Shirt ni aku simpan. Pakai pun jarang-jarang. Sayang woo..

Friday, September 12, 2008

Poster 'Sakit' 2007

Poster ni aku design sendiri. Dari aku bagi entah siapa-siapa design baik aku design sendiri saja. Tagline teater 'Sakit Bukan Hak Milik Tapi Anugerah' terinspirasi dari filem 'Cinta' arahan Kabir Bhatia [Cinta Bukan Hak Milik Tapi Anugerah]. Aku design poster ni guna Adobe Illustrator dan Photoshop. Ada elemen 'remaja' dan 'hip' untuk menarik perhatian student Unisel turun beramai-ramai pecah panggung. Design kira oklah kan. Nama pun novice designer. Haha!

Tiket 'Sakit' 2007

Gambar di atas ialah tiket-tiket yang digunakan semasa pementasan teater 'Sakit'. Paling atas tiket untuk golongan marhaen [pelajar-pelajar dan orang awam]. Bawahnya tiket vip [pensyarah-pensyarah dan jemputan khas]. Mulanya aku nak buat gimik, tiket biasa aku nak bagi percuma dan tiket VIP aku kenakan bayaran. Sepatutnya hukum sosialis begitu. Tapi tak jadi. Batal. Mahunya bankrap manajemen kalau aku buat idea gila macam tu.

Bagusnya, semua tiket sold-out!

Saturday, August 30, 2008

Sepi I

Matahari mana pun yang membakar
Daun sepi itu takkan gugur
Dan jangan pernah kau tanya kenapa
Kerana memang sudah lama aku sengaja
biarkannya subur disiram luka
dan ditetes air mata

Shah Alam
07/08/08