Wednesday, March 17, 2010

Tunggu Aku di Ramallah

Rubi,
petang rusuh itu
wajahmu tidak muncul di jendela
aku, kau biar menunggu
menghunjam batu
menghitung janjimu

Rubi,
entah petanda apa
membawaku berlari
menyelinap, memasuki Kota Suci
bukankah di hadapan Al-Aqsa ini
pernah kau hulurkan aku selendang merah
buat menyapu darah
ketika kepala dibedil peluru penjarah

Rubi,
sengaja aku tidak mahu meneka
meski sudah kutemu jawapannya
di balik kerumun saudara-saudara kita
kerana
menatap pucat bibirmu
kering darah di gaun putihmu
longlai tanganmu
dan rubi pecah di jari manismu
terasa seperti jantung ini pecah
terlontar ke tembok-tembok pemisah

Rubi,
syahidlah..
syahidlah..
pergilah ke rahmat Allah..
cinta, kasih kita
biar berbekas di Ramallah