Tuesday, October 20, 2009

Rama-Rama Dari Bibirmu

Kata-kata dari bibirmu
adalah rama-rama
yang hinggap di bucu jendela
penuh pesona

Monday, October 12, 2009

Derita Hidup Kita

Kawan,
lebih baik mati
kerana derita
daripada hidup
tanpa cerita.

Wednesday, September 09, 2009

Menikmati Malam

Malam dingin
kubuka mata, suaramu menerobos jendela
mengirim desir tanya
mahu ke mana kita?
kataku
aku sudah lama tidur dengan wajahmu pada bulan
cuma tiada khabar salam pada cebis rindu
kerana aku mahu kau menunggu saat kusumbukan pelita dari jiwa gelap
supaya akan kau lihat cinta gemerlap

Saturday, August 15, 2009

Kita yang Tiada Suara

Selalu saja
Hati ini tiada mulut
untuk bersuara
Mulut pula
tiada hati
ketika berbicara

Bila lagi
mahu aku faham diri sendiri?

Tuesday, August 04, 2009

Hujan yang Sejuk dan Payung yang Bocor

Hujan di luar
Basah dan sejuk
Payung pula tiba-tiba bocor
Katanya,
Maaf
Hari ini awak basah
Sebab kita sakit

Saturday, July 18, 2009

Kata-Kata Dari Matamu

Kata-kata
dari matamu
adalah bahasa api
membakar sukma
dan
aku sesungguhnya
dapat merasa
nafas ini dipanggang
menjadi bara
hangus dan mendebu

Malam itu
tidak terhitung
cinta kita yang rentung

Thursday, June 18, 2009

Manisnya Cinta Kita

Andai relung hatimu
berbaja risau, maaflah
kerana kebun takdir ini
buahnya penuh hijab
entahkan manis
entahkan masam
kita mencari, menduga
dengan indera penuh batas
sesekali tertipu kita belajar
menghitung musim, menelah rasa
kerana
manisnya cinta itu
kadangkala kulitnya jelik, pelik
tapi isinya putih
penuh cinta
penuh syurga