Sunday, January 09, 2005

Segala Yang Tertakdir

Tunas Cipta
Januari 2005



Abang, mama dah tak ada... Papa sakit jantung. Dia kritikal di hospital! Abang baliklah cepat!

Abang Hani diam di hujung gagang. Hanya terdengar bunyi derap hujan rintik. Air mata aku senang saja bergenang, memerah dan memijar. Aku tahu abang Hani sedang menahan tangis di hujung talian sana.

Aku ditakdirkan menjadi remaja yang menyaksikan sepotong peristiwa dari sekian banyak cerita rumahtangga. Kata papa, kami adalah insan terpilih, diuji Allah untuk setitip cubaan agar menjadi manusia yang lebih tabah. Agar menjadi manusia yang lebih mengerti dan redha tentang kehidupan. Juga manusia yang akan memahami bahawa kemustahilan itu bila-bila masa sahaja boleh menjadi kebenaran yang ditakut-takutkan.

Sebetulnya ini adalah cerita cinta papa dan mama. Boleh jadi juga cerita mengenai keluarga aku yang dideritakan manusia iri dan sakit hati. Tentang siapa yang setia dan siapa yang derita. Tentang siapa yang menolong dan siapa yang mengomong. Sebelum ini aku selalu beranggapan kebahagiaan kami adalah suatu kemustahilan yang boleh diruntuhkan oleh sesiapa pun. Kini, kerana peristiwa inilah aku diajar tentang bagaimana seseorang itu harus selalu menenangkan diri, belajar mempercayai bahawa kebahagiaan itu bukannya milik sendiri dan tiada sesiapa pun berkuasa memegangnya. Tiada sesiapa pun!

Papa tidak terlewat mengenali mama. Mereka sekampung. Cuma dalam hidup mama ada orang kedua yang cuba menagih cintanya. Cuba menguji setianya papa dan cintanya mama.

Ketika papa melepaskan mama dengan rasa percaya ke Universiti Malaya, papa melenyapkan cinta lain dalam hatinya. Kerana dia telah menetapkan cintanya hanya untuk mama. Cintanya hanya sekali dan cinta itulah yang akan dia pegang dan junjung sampai ke mati!

Seperti kata abang, cinta mama begitu juga. Cuma mama gadis biasa yang mudah tersentuh dan terpesona dengan bicara dan budi lelaki. Lalu ketika itulah cinta mama dan papa diuji. Cinta mereka itulah yang membawa kepada derita kami hari ini.

Mama memberitahu, papa sakit! Aku angkat bahu, tidak tahu. Dengan dahi berkerut aku memandang mama minta penjelasan. Aku memandu cermat ke Johor Bahru ketika itu. Mama beria mahu mengambil abang Hani dari kolej biar pun dia berkali-kali mengatakan mahu mengambil bas. Ah, abang Hanikan anak kesayangan mama. Sayang mama lebih sedikit pada abang berbanding aku. Barangkali rencam anak lelaki dan ibunya begitu.

Papa dah tak sayangkan mama! Aku gelak kecil.

Betul! Perkara ni sudah lama berlaku. Papa bukan lelaki yang sempurna dan sesuai untuk mama. Selama ini mama derita hidup dengan papa. Bertahun mama simpan semua ini supaya keluarga kita bahagia. Tapi kini mama tak mampu. Papa yang dayus! Bacul! Kami tak sekhufu. Mama rasa seperti tiada suami lagi. Janda!

Aku sebal. Aku melampiaskan amarah pada pendikit, kereta melahu laju. Mama terkejut dan menjerkah marah. Aku merengus dan muka terasa berbahang.

Mama serius memberitahu, katanya sengaja mahu aku menemannya mengambil abang Hani di JB. Mama berharap aku dapat menerima kenyataan yang bakal didengar walau bagaimana pahit sekali pun. Katanya aku sudah cukup dewasa untuk semua ini. Aku perlu lebih tabah. Aku harus lebih pasrah. Air liur terasa pekat dikerongkong ketika mama mengusap paha aku, lembut. Aku rasa derita mama mengalir.

Adik, jodoh mama dan papa tak panjang lagi. Kami sudah tak sehaluan sepanjang adik belajar di universiti lagi. Papa sudah berubah. Papa banyak menyendiri. Mama tak pernah fikirkan jalan perpisahan ini tapi mama perlukan lelaki yang dapat membimbing. Lelaki yang melindungi. Lelaki yang warak, menuntun mama ke jalan Allah dan papa buat mama kecewa. 23 tahun mama simpan semua ini.

Perlahan mama singkapkan kisah cintanya kepada aku dalam suara penuh getar. Marah aku pantas mengendur dan aku mula merenungi.

Mama mengingatkan aku tentang pakcik Razi. Aku dan abang Hani pernah bertemunya di majlis hari keluarga pejabat mama pada dua bulan lalu. Dia bekas kekasih mama semasa di UM dulu. Memang mama dan papa bercinta awal. Tapi sepanjang mereka terpisah papa semakin jarang menghubungi. Mungkin jarak yang memisahkan dan mama mula ragu-ragu dengan cinta papa, mengatakan papa sudah berpunya. Kata mama, Pakcik Razi lelaki baik, berkarisma, lemah-lembut, penuh kesopanan dan digilai ramai perawan pada zamannya. Dia warak, mengetuai kerusi presiden pidato dan ahli mahasiswa Islam di universiti. Sekarang dia ahli perniagaan import eksport kereta tempatan dan juga pendakwah bebas. Mama mengakui mereka serius bercinta sepanjang di UM dan banyaklah harapan tertabur dan terhambur. Cinta mama banyak tercurah kepadanya melebihi cinta mama kepada papa.

Pakcik Razi berjanji akan menghantar pinangan sebaik sahaja mama usai pengajian. Mama bukan hendak mengkhianati jauh sekali curang pada cinta papa. Papa tetap seorang lelaki baik lagi setia. Papa sesungguhnya hanya layak buat wanita yang dapat mencintainya sepenuh jiwa seperti mana dia mencintai mama. Tapi masa yang mengubah segala dan mama menjadi mangsanya.

Barangkali Tuhan sengaja menguji cinta mama pada masa itu. Mama pulang dan papa tetap setia menunggu cinta mama. Rakan-rakan memberitahu ketika papa di maktab tentera bukan seorang dua gadis dihampakan cinta mereka kerana mama. Papa menolak cinta mereka kerana takut mengkhianati. Mama menangis sedih. Bukan kerana dia rasa bersalah tetapi kerana papa terlalu setia. Papa boleh mati dibunuh setianya!

Mama berlakon semata, berpura mengasihani. Tapi Pakcik Razi pula tiba-tiba menghilang. Paling akhir panggilan diterima, dia menyuruh mama menunggu masa dan waktu yang sesuai. Lamaran darinya pasti akan tiba. Papa juga menyuarakan hasrat yang sama tapi mama minta ditangguhkan. Mama katakan mahu miliki kerjaya dahulu.

Papa begitu bersungguh sehinggakan sanggup menyusahkan diri mencarikan pekerjaan untuk mama sebagai seorang pegawai di pejabat tanah kerajaan, cukup lumayan bagi gadis seperti mama ketika itu. Papa masih setia dan pakcik Razi pula tiba-tiba menyepi tanpa berita. Penantian adalah penyeksaan dan janji adalah bukti kejujuran.

Cinta adalah tentang hakikat nyata dan pilihan. Bukan saja tentang penyerahan jasad malah tentang penyerahan jiwa. Dan takdirlah akan wujud di antara keduanya yang menyuratkan apa yang tersirat. Mama perlu memutuskan. Tuk Rusli, ayah mama menyuruh mama beristikharah. Minta petunjuk dari Ilahi, lelaki manakah yang benar-benar jujur dan ditakdirkan. Lalu pada malam dinginnya mama beristikharah dalam tangis. Dalam tangislah mama bermohon cinta siapa yang patut mama serahkan. Esoknya papalah yang menyapa awal pagi, mengatakan permohonan kerja mama diterima. Dalam sebak mama sedaya menyambut papa bersama air mata yang ditahan-tahan. Tuhan lebih mengerti. Tuhan pastinya mengetahui. Mama akur merelakan cinta papa untuknya. Papa melonjak gembira kerana dapat memiliki hati seorang wanita yang dicintai.

Pada hari peminangan, mentua mama, arwah Tuk Wi minta dikurangkan nilai hantaran. Katanya mama terlalu meninggi status diri. Mama tersentak. Dibalik tabir, jiwanya meruntun penuh sedih mendengar ayah sendiri, Tuk Rusli menerimanya. Perempuan mana pun akan terhina sekiranya hantaran diri dijadikan bahan tawar-menawar. Hantaran adalah tentang harga diri. Tentang maruah dan kesucian. Itulah kata mama dalam linangan air mata dukanya. Mama memberitahu, jangan dilayan lelaki yang berani menawarkan nilai hantaran aku. Tentang abang Hani pula, mama sanggup menunaikan seberapa banyak nilai hantaran bakal isterinya kelak. Tanpa dikurangkan walau sesen pun. Tegas mama seperti berjanji kepada aku. Derai air mata mama mengalir, menitis membasahi tudung dan berbauran bersama genangan air mata aku.

Setahun aku jadi gadis yang menyendiri dan memendam. Kata Fatin, aku bertuah memiliki segalanya bagi remaja seusia. Aku punya keluarga bahagia dan kehidupan yang meruah. Dan kata-kata rakan baik sekuliah itu aku sambut dengan senyum penuh luka. Benarkah?

Di rumah aku memerhati gerak papa. Papa seorang perahsia. Papa banyak memilih untuk memendam daripada meluahkan sehingga semua sengsaranya tertumpah ke raut wajah beningnya. Sukar untuk sesiapa pun mentafsirkan apa-apa. Tapi aku tahu papa sedang menanggung sengsara di dalam jiwa. Sengsara yang amat sangat. Aku jadi sedih dan pedih. Papa sememangnya dibebani setianya.

Suatu pagi damai, aku memberanikan diri mendekati papa. Papa sedang memandang awan yang berlonggok-longgok di dada langit dengan buku nota kecil dan sebatang pen di tangannya. Dia sedang menulis sesuatu. Ada secawan teh di atas meja sisi. Asap putih berpual-pual keluar dari mulut cawan berukir capah bunga matahari itu.

Papa, kenapa mama jadi macam tu? Papa dah tak sayang mama lagi?

Aku genggam erat jemari papa. Papa memandang dan menggeleng.
Mama ceritakan semuanya?

Papa bertanya dan aku mengangguk. Mata aku lebih mengharapkan sesuatu dari papa. Papa diam saja dan kembali menatap awannya.

Sampai bila papa harus berdiam. Aku mahu kebenaran dari papa pula. Papa yang aku kenal tak pernah kejam terhadap mama aku. Tolongg...

Suara aku agak tersekat dan sedikit bergetar. Papa masih diam.

Adik, lelaki itu ada dua. Satu yang senang menceritakan dan satu lagi yang susah untuk menyatakan. Papa ialah lelaki yang kedua itu. Tapi percayalah mama kita tak seperti yang kita kenal. Mama adik tak seperti itu...

Kata-kata papa menikam ke ulu hati aku dan buat aku percaya bahawa cinta papa pada mama tidak kurang walau sedikit pun.

Ketika mama mendesak untuk diceraikan. Kami sekeluarga berantakan. Abang Hani jadi lelaki yang keliru melihat mamanya bertukar serta merta. Dari wanita patuh dan tidak pernah meninggi suara menjadi wanita yang nusyuz pada suaminya. Mama mula memberontak. Menghebah kepada sanak saudara tentang buruk dan dayus papa. Dan papa seperti selalulah. Hanya diam dan menyepi diri. Hari-hari hadapan berlalu pun begitu juga sehingga berganti bulan demi bulan.

Suatu hari, apabila mama menceritakan tentang bakal kehidupannya bersama dengan Pakcik Razi sekiranya diceraikan papa kelak, entah mengapa tiba-tiba sahaja marah aku dibakar-bakar tanpa terkawal. Tatkala mama katakan aku akan punya adik baru. Aku membentak kuat. Aku berasa amat berdosa kerana terpaksa menjadi seorang anak yang derhaka kepada ibunya. Aku memberitahu, mama boleh berpisah dengan papa tetapi aku dan abang Hani tetap tidak dapat menerima pakcik Razi.

Ah, baik benarkah dia? Ke mana dia melarikan diri ketika mama menunggu cintanya? Mengapa kembali menagih cinta mama setelah 19 tahun aku bahagia dengan papa dan mama. Lagi pun Pak Cik Razi sudah punya isteri dan anak-anak. Mama bakal jadi isteri keduanya! Warakkah seorang lelaki yang mengganggu mama yang masih menjadi isteri papa yang sah!

Mama menampar aku. Mengatakan aku anak syaitan yang kurang ajar! Kebetulan papa dan abang Hani pulang dan mereka menyaksikan semuanya. Aku hanya memandang mereka dalam sedih. Aku melarikan sedu ke bilik. Menghempas pintu dan menyembam diri ke bantal. Aku menangis semahu-mahu. Aku rasa bahagia aku sudah hilang menjauh, terlalu jauh dan tidak akan kembali lagi.

Papa menuruti ke bilik. Mengusap rambut aku penuh kasih.

Papa, adik benci mama. Biarkan mama pergi. Adik tak sanggup tengok mama buat papa macam tu.

Papa memeluk aku dan memberitahu.

Percayalah, papa takkan lepaskan mama. Bukan untuk papa tapi untuk adik dan abang Hani. Berikan papa masa. Papa akan menceritakan. Menceritakan segalanya. Tentang siapa yang mengkhianati kita. Mama kita bukan begitu.

Aku tidak mampu lagi menghentikan tangis. Aku jadi takjub dan hairan. Mengapa setia papa sampai begitu? Aku terasa air mata papa menitik ke rambut aku, panas dan penuh rasa akung. Dari kejauhan aku dengar abang Hani menghilang bersama deru enjin motosikalnya. Abang Hani juga seperti aku. Dia diserabutkan petaka keluarganya dan dia dipaksa mempercayainya!

Dua malam selepas peristiwa itu, papa kejutkan aku dari tidur. Jam ukir nama mama dan papa di dinding aku lihat pukul 3 pagi!

Aku tidak bersuara. Papa memimpin aku menyelinap ke belakang dapur. Kami memerhati dari kaca jendela. Aku pantas menangkap bunyi seseorang sedang mencuci pinggan! Ah, mamakah itu?

Sebaik sahaja terlihat mama, rasa seram aku bertukar sayu. Dengan pakaian pejabatnya aku lihat mama asyik membasuh pinggan sambil menyanyikan lagu Sharifah Aini, Hatiku Dicuri Lagi. Mama buka peti ais, dikeluarkan barang-barang dapur dan dilapnya satu persatu. Sampah dan habuk disapunya serta nasi ditanak. Dia berhidang tiga empat jenis lauk dan dijamahnya.

Air mata aku lebat menitis apabila melihat mama menatap cermin. Mama kenakan pemerah bibir. Mukanya dibedak dan matanya dicelak. Dia berbicara sendiri dan diselang seli dengan hilai tawanya. Sesekali dia bernyanyi lagu Sharifah Aini, penyanyi kegemarannya.

Inilah yang papa saksikan selama ini. Jiwa mama diambil orang. Siangnya mama kembali normal dengan lagak isteri yang derhaka. Menuntut pembebasan diri dari papa. Menjaja sengsaranya pada Mak Long, yang kemudiannya menambah cerita bahawa papa memperlakukan mama seakan kuli di rumah selama ini. Kami hanya menyaksikan. Mereka tidak pernah tahu dan kami tidak pernah sekali-kali memberitahu. Mereka hanya tahu kekejaman papa dan kecurangan mama. Mereka tidak pernah mahu mendekati dan cuba memahami.

Papa akhirnya menceritakan kisah-kisah lalu yang mengheret kepada derita kami hari ini. Kata papa jangan pernah salahkan mama. Mama sudah tidak punya sesiapa pun yang akan membantunya selain kita!

Pertamanya mengenai arwah Tuk Wi. Tentang hantaran. Papa tidak pernah meminta dikurangkan hantaran mama. Demi Allah, papa sanggup membayarkan berapa harganya sekali pun kalau papa tahu Tuk Wi minta dikurangkan hantaran itu. Wajarkah papa disalahkan kerana kesilapan orang-orang lalu? Tuk Wi sudah menghadap Ilahi. Biarlah dia aman bertemu Penciptanya. Mengapa perlu diungkit kesilapan manusia yang lalu? Kita adalah insan berdosa. Mengapa dibabitkan kisah lalu sehingga mensengsarakan manusia hari ini yang tidak tahu apa-apa?

Keduanya tentang pakcik Razi. Dia sebenarnya dipaksa berkahwin dengan anak rakan baik ayahnya, seorang pendakwah terkenal tanah air. Ayahnya mahu pakcik Razi meneruskan perniagaan dan memperluaskan dakwah. Katanya, pakcik Razi keturunan baik-baik dan mesti pula berkahwin dengan ruas yang sama. Dari keturunan nabi-nabi katanya.

Lama kemudian, pakcik Razi mula terpesong dalam takjub dan taksub diri. Merasa diri lebih mulia dan manusia dipilih Tuhan. Menuduh negara dipenuhi kekejaman, ketidakadilan dan perlu diselamatkan dengan nama fisabilillah. Negara menjadi gawat seketika dua tahun lalu. Papa ialah antara tentera yang menyerbu dan memberkasnya di rumah.

Apabila melihat mama bertemu papa di kem tahanannya, iri pakcik Razi memuncak dan kelelakiannya dicabar-cabar apabila melihat kekasih lama bahagia bersama lelaki biasa. Dia rasa diri kerdil. Menyaksikan seorang wanita hebat hanya dikahwini seorang tentera. Dia pula diberkas suami bekas kekasihnya itu.

Kemudian hari-hari hadapan dia cuba mendekati mama. Mama sedaya cuba menjauhkan kerana diri sudah berpunya. Takdir Tuhan mampukah dapat dilawan? Allah sudah menentukan jodoh mama adalah bersama papa dan Allah jualah yang mampu memisahkan mereka. Kisah lalu sememangnya menyakitkan tetapi janganlah disakitkan kisah-kisah masa hadapan.

Mama menceritakan semuanya. Tentang pakcik Razi yang cuba mendekati dan kisah cinta yang cuba dirahsiakan. Papa jadi kurang sabar. Mengugut pakcik Razi akan mencederakan sekiranya masih cuba mengganggu rumahtangga mereka. Dan selepas pakcik Razi hilanglah mama berubah wajah dan tingkah. Kesilapan kecil diperbesar-besarkan dan kesilapan lalu diungkitkan satu persatu. Sehinggalah melarat ke hari ini. Sehinggalah mama hilang kewarasan. Kata doktor, mama dibelenggu masalah tidur atau insomnia kronik kerana terlalu membebankan diri dengan masalah. Mama seakan sehabis daya cuba menentang sesuatu yang membelenggu sehingga dia dirasuk racau dan sasau.

Suatu malam, mama tiba-tiba menangis dan meraung dalam kerudung sembahyang putihnya. Mukanya penuh gelupas kulit dan tompok-tompok hitam seakan dibakar. Katanya ternampak malaikat maut sedang menghampiri dan diri menggigil hebat. Matanya terbelalak dan bibir kering memucat. Papa kejutkan aku yang kemamaian. Aku gesit turun, melihat mama baring di pembaringan dengan air mata dan keringat bercucuran. Membasahi kerudung, cadar dan bantal. Mama lafaz kalimah syahadah berkali-kali. Katanya ajal semakin mendekati. Mama cium pipi dan dahi papa. Wajah dan rambut aku mama usap dengan tangan penuh geletar. Membisik, menyuruh disampaikan salam kepada abang Hani yang menyepi diri.

Maafkan mama atas segalanya. Kasihkan papa. Mama bahagia punya papa dan anak-anak seperti kamu... Mama bahagia...

Kemudian mata papa dan mama pun bertentangan. Tangan mereka bertautan dalam hambur air mata. Mereka tidak bersuara apa pun. Sepatah pun tidak. Hanya air mata yang memberitahu. Air matalah yang memberitahu bahawa papa sudah lama memaafkan isterinya. Air matalah yang memberitahu bahawa mama seusai daya melawan deritanya. Air matalah yang memberitahu tentang kesetiaan mereka berdua dan air mata jugalah yang memberitahu cinta manusia hanya dapat dipisahkan dengan nyawa.

Dan malam pun begitu kejam membawa mama aku pergi. Malam terlalu singkat membawa mama abang Hani pergi. Malam amat curang membawa isteri seorang lelaki setia pergi. Papa akan menderita. Abang Hani sepatutnya belajar menerima dalam redha dan aku pula harus lebih merelakan. Merelakan segalanya yang tertakdir dan yang tak mampu aku mungkir. Tak mampu aku usir.