Monday, April 05, 2004

Cinta Cikgu Lara

Tunas Cipta
April 2004
cinta cikgu laraMahu dengar cerita cinta cikgu lara? Sebenarnya, rasa berdosa juga menceritakan rahsia ini kerana cikgu ada minta saya berjanji sedangkan saya sesekali tidak pernah mengiyakan. Maaf, cerita cinta cikgu benar-benar mengganggu saya. Saya rasa ada satu beban yang tiada upaya saya memikulnya. Semakin cuba saya menopangnya, selama itulah cerita cinta cikgu menghimpit sakit. Pedih dan menyucuk-nyucuk. Dan kerana itulah saya memutuskan untuk memberitahu mereka. Maaf!

Platform 15. Hentian Pudu Raya. 8.30 malam. Seperti biasa saya senang sendirian dan duduk memerhati sementara menunggu ekspres malam ke Alor Star. Saya beli naskhah Dewan Siswa, sementelah lagi hampir 3 jam saya akan sendirian, selalunya begitu. Tampak orang ramai bergelintaran segenap pelusuk hentian bas ini. Sesekali menatap muka kertas mata saya tidak lepas memerhati setiap warga. Tabiat yang sukar dihilangkan. Memerhati membuat saya selalu memikirkan apa yang selalu bermain di fikiran manusia. Saya lihat seorang cina tua termenung di sudut kedainya. Barangkali memikirkan tentang untung niaga jualan makanan rapu dan buah-buahan yang saban hari hanya statik. Tidak untung dan tidak rugi. Ada remaja melayu kusut masai sedang berbual dengan pemuda bersandang beg galas besar. Mungkin mangsanya untuk diperas wang buat sepaket ganja atau heroin. Saya geleng kepala. Ada sesuatu yang perlu saya renungkan tentang pahit maung kehidupan yang tidak terhitungkan.

Dalam asyik ada lelaki separuh abad tiba-tiba mendekati, mengosok-gosok punggung seluar khaki nya lalu duduk. Dia senyum dan saya membalasnya tawar. Rasa bersalah pula kerana tidak ikhlas menghulur senyuman. Ada beg sandang hitam disilangnya ke bahu kiri. Mukanya penuh jambang, berceracak menyelimuti raut pipi, dagu dan tebing bibirnya. Mukanya kuning langsat, bertubuh sedikit kurus. Dagu runcing dengan mata sepet ke dalam dibatasi tulang hidung yang agak tinggi. Pasti zaman mudanya dia jadi lelaki kacak, kalau tak digilai pun pasti ada seorang dua gadis berkirim salam. Matanya redup, sayu seperti dibebani masalah.

Dia terperasan saya memandang tapi membiarkan. Saya mengalih pandangan. Memarahi tabiat diri. Saya tunduk, mencari perenggan-perenggan yang tertinggal. Kisah tentang kejatuhan rejim Saddam dan perpecahan Sunni dan Syiah di bumi Iraq. Kemudian saya bungkam seketika dalam dunia aksara di hentian serba bersejarah itu.

“Nak balik mana?” saya sedikit tersentak, lelaki itu senang sahaja menyapa.

“Alor Star.” Saya menjawab ringkas. Terus terang saya katakan saya kurang senang dengan kehadirannya ketika itu. Saya tahu orang-orang sebegini minta dijadikan teman berbual yang akhirnya ringgit saya pasti hilang dihujung ceritanya. Katanya lagi, dia guru mengajar di Alor Gajah, Melaka. Dia terlalu ramah. Menceritakan segala-galanya tanpa henti. Tentang negara dan politik yang baginya busuk dan serba tidak kena. Tentang masyarakat yang selalu menghukum dan penuh prejudis serta kemerosotan moral remaja seperti saya. Remaja yang tidak patriotik. Lesu. Remaja sekarang tiada jati diri. Mabuk bercinta. Mabuk bersuka-sukaan. Saya hanya angguk. Memang ada kebenaran tapi saya bosan amat mahu melayannya sekarang. Saya senang sendirian. Hati saya meracun-racun menyuruh saya minta pamit perjalanan. Tapi saya rasa begitu kurang ajar kiranya melayan lelaki yang sebaya ayah itu begitu.

“Anak pernah bercinta?” soalan itu tiba-tiba sahaja buat saya menoleh dengan dahi berkerut. Saya gelengkan kepala dan cikgu itu tersenyum penuh makna.

“Bercintakan satu trend orang muda sekarang. Kasihan, remaja sebaya anak yang belum bercinta dikatakan leceh. Masyarakat kadang-kadang selalu mendesak kita membuat keputusan tanpa ada fikiran.” Cikgu menggosok-gosok lengan kemeja berbelang biru putih itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Jenama Cezzane. Barangkali mahal, fikir saya.

“Cinta itu lari apabila kita setia menjaganya. Orang yang menjaga cinta selalunya dikhianati. Percaya?” Saya angkat bahu, tidak tahu. Saya jadi serabut. Aduh, dia mahu cerita kisah cintanya pula! Saya tunduk kepala, hati menyeranah diri kerana menjadi mangsa seorang cikgu yang lara cintanya.

“Kita selalu terbaca tentang kisah cinta terhalang. Cinta yang tidak dapat bersatu. Stereotaip cinta seperti ini tidak pernah basi kerana manusia selalu menganggap itulah manifestasi cinta yang agung. Tipulah kalau sesiapa pun tidak ada sekelumit sedih mahu pun kasihan apabila membacanya. Tapi cikgu tidak pernah ada rasa itu.”

Cikgu keluarkan gambar hitam putih kusam dengan latar putih yang sudah bertukar menjadi kuning air dengan tompok-tompok cokelat di beberapa bahagian gambar. “Cantikkan isteri cikgu,” saya lihat gambar gadis manis 70-an tersenyum. Bertudung kain ketak tanpa kerongsang, bulat melitupi raut bujur wajah. Gaya tudung gadis-gadis dulu. Matanya bercelak dengan alis kening hitam memekat. Hidung mancung dengan pipi kanan berlesung pipit agak ke dalam. Cantik! Sesiapa pun akan jatuh cinta apabila menatapnya. Saya hanya mampu mengangguk. Dalam hati membayangkan wajahnya kini. Barangkali kejelitaannya dilunturkan masa dan usia. Ah, bukankah kecantikan hanya pada mata!

“Cintalah yang mengkhianati kami. Masyarakat menghukum kami. Cinta di negara membangun menyakitkan” Saya menolak kaca mata yang melorot jatuh agar melekat elok. Entah tiba-tiba rasa minat menyerbu.

“Isteri cikgu gadis melayu yang pandai. Ijazah kelas pertama Universiti Malaya, Sains Sosial dan Kemasyarakatan. Dia perempuan Melayu tunggal di kampungnya layak ke universiti sedang zaman itu anak-anak gadis sudah rela dinikahi mana-mana lelaki. Mentua cikgu senang saja jadi bahan umpat masyarakat. Menghantar anak perempuan pandai biasanya tidak ke mana, ke ceruk dapur jua. Kata mereka perempuan pandai selalunya hilang adab menghormati suami, maklumlah merasa diri gah. Graduasi dengan umur lanjut kata mereka andartu. Saham diri jatuh. Sedangkan mereka percaya jodoh itu sudah tertulis di lauhul mahfuz.” Cikgu menghela nafas sambil menggaru kening kanannya, gatal. Dia menyambung kembali ceritanya, tenang.

“Cikgu masih ingat, ditakdirkan hari itu rantai basikalnya jatuh dan cikgu tawar diri ikhlas menolong. Katanya tak payah, itukan kerja mudah. Sedar-sedar skirt sekolahnya bercalit minyak hitam. Dia balik menuntun basikal dengan rantainya yang hilang langsung. Putus. Dia tunduk malu saat bertembung. Barangkali dihambat rasa bersalah menolak bantuan seorang lelaki yang tak dikenali sedangkan cikgu tidak kisah dan tiada rasa apa-apa. Cikgu sedar diri hanya orang luar dan wajar dicurigai.”

“Kemudiannya, bertemu di simpang kampung setiap kali ke sekolah memekarkan bibit cinta yang sukar dilucutkan dalam jiwa kami. Percayalah, cinta itu tidak perlu kata-kata setia kerana hasrat mata tidak mampu menipu dan cikgu percaya cinta yang jujur adalah suara tanpa bicara yang boleh menyampaikan rasa-rasa hati yang tulus.”

“Paling diingat, kami dan beberapa rakan dibicarakan dan dihamun kerana menyokong ambilan tanah bendang kampung dengan pampasan sedangkan orang kampung menentangnya. Kata mereka tanah kampung bangsa Melayu akan diperkosa. Itu projek untuk orang-orang cina agar senang berkereta sedangkan kerajaan mahu menurap tar agar rakyat senang mudik ke pekan, tak perlu berselut kaki dan bersampan perahu membeli barang di pekan. Cikgu tubuhkan angkatan pemuda dengan matlamat memajukan kampung menukar wajah diri menjadi warga progresif, moden dan berilmu. Dia jadi setiausahanya. Dari duit ahli kami buka perpustakaan. Membeli majalah Sarina, Mastika dan lain-lain. Kami dituduh anjur maksiat. Apatah lagi perempuan yang sebelum ini biasa dilihat berbual kosong di anjung dapur teman sebaya dan mengutip kain di ampaian tiba-tiba sahaja sudah pandai minta izin mahu ke perpustakaan ingin membaca ilmu tapi dituduh gatal merenyam mahu berlaki.”

Saya betulkan duduk cuba melegakan lenguh punggung. Cina tua di kedai bertentangan sedang tersengguk-sengguk menahan kantuk diri. Lelaki Melayu kusut masai tadi saya lihat terhuyung hayang dengan senyum panjang. Barangkali habuan agak lumayan.

“Kadang kala hidup dalam masyarakat yang selalu menentang menyesakkan. Pada masa itu, cikgu jadi marah sangat dengan orang kampung dan bangsa sendiri. Mereka memaksa diri untuk tidak mahu memahami. Rencam adat dan kata-kata umpat jiran tetangga dijadikan fatwa yang ditakut-takutkan. Mereka dibelenggu. Mereka mengharap keadaan yang akan mengubah mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu berubah.”

“Persatuan kami lesu apabila banyak ahli kuatnya bawa diri lanjut pengajian. Dia ke Universiti Malaya. Cikgu ke Maktab Perguruan Sultan Idris. Ada yang ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Ada ke Morocco dan Mesir belajar agama. Banyak juga yang kerja kerajaan dan lain-lain lagi. Perpustakaan kami terkunci dan hari-hari hadapan apabila cikgu pulang sebagai cikgu muda dengan harapan mengubah persepsi dan mentaliti warga tapi semuanya jadi mangsa markas kambing! Cikgu menangis, nak. Menangis melihat majalah dan buku-buku berselerak dan dikoyak-koyak. Ditempek-tempek tahi kambing dan ayam itik. Nilai ilmu dihina sampai begitu.”

Cikgu berhenti menahan sebak diri, membuka silang kaki dan menyilangkan kakinya yang sebelah lagi. Cikgu melepas nafas berat.

"Isteri cikgu?” Tiba-tiba saya jadi berani bertanya, terpesona dengan cerita cikgu. Saya tahu ada sengsara yang mahu cikgu lepaskan. Ada derita yang mahu cikgu bebaskan.
Cikgu tersenyum manis dan ketawa kecil tanpa bunyi. Badannya sedikit terhinggut. Barangkali terimbas kembali kisah-kisah lalu.

“Sebelum dia pergi cikgu tekadkan diri berjumpa. Tiba-tiba sahaja cikgu jadi lelaki yang berani menyuarakan rasa kasih dan sayang. Cikgu mahu hubungan yang berkesudahan. Mukanya merah malu. Katanya jangan terlalu mengharap. Apa-apa boleh berlaku. Masa hadapan bukankah tak dapat dirancang. Dia tidak percaya lelaki boleh setia dengan cinta yang bukan di hadapan mata.”

“Jadi kata cikgu?” Saya bertanya, gopoh.

“Kata cikgu, cintakan rasa percaya tanpa cemburu buta. Perempuan berhak memilih dan menilai. Keputusankan ditangan awak. Saya hanya boleh menjanjikan kata-kata setia. Selepas itu dia hilang lama. 5 tahun! Surat-surat jadi penghubung kami. Haha.., dahulukan tiada sms dan telefon bimbit. Tapi bukankah cinta itu bila-bila sahaja akan memudahkan apa sahaja yang susah dan payah?” Saya senyum dan mengelip mata. Membetulkan kolar baju yang mengendur. Medium penghubung cinta dahulu apabila dikenangkan amat klasik dan begitu sentimental untuk dibayangkan. Tanpa disoal cikgu kemudiannya menyambungkan ceritanya.

“Dia pulang dengan segulung ijazah tergenggam. Yang mengejutkan dia jadi gadis bertudung sedangkan zaman kami waktu itu perempuan bertudung harus jatuh sebagai fesyen muslim minoriti. Tidak seperti fesyen gadis sekarang sekarang sehingga ramai yang bertudung kerana gaya dan bukan kerana hikmah dan kewajipannya. Ketika itu ramai gadis-gadis seusianya senang mendandan rambut ala Sharifah Aini dengan anting-anting sebesar gelang tangan tapi dia senang sahaja bertudung biarpun masih berkebaya ketat berpotongan badan. Syukur. Sekurang-kurang dia membawa revolusi modul gadis muslim terpelajar. Orang kampung diam sahaja tapi masih mahu berumpatan, kata mereka dia gadis riak mahu tonjol alim dan baik diri walhal galak bersosial dengan jantan di universiti. Inilah masyarakat kampung cikgu waktu itu. Mereka hanya nampak bersatu pada luaran semata kerana tidak mahu diri disisih selagi tidak cuba melawan arus biarpun ada kebenaran. Tapi hakikatnya hati mereka kosong dan penuh iri.”

“Ketika pulang umurnya 27 tahun. Gadis dara yang dikatakan tua dan belum pula berlaki pada waktu itu senang sahaja timbul fitnah. Mentua cikgu disisih-sisih dan dikata-kata di belakang mahu pun hadapan. Kata mereka, mentua cikgu memilih, mahu menjual anak Dia dicerca anak dara tidak laku bahana tulah dan sumpah tidak mempedulikan nasihat masyarakat."

"Cikgu tahu dia perempuan. Hati perempuan mana yang tidak terusik lihat ayah sendiri disisih dan diri jadi bahan cerca orang kampung. Keadaan mendesaknya. Satu hari dia bertemu cikgu. Marah-marah kerana tidak cepat melamar diri. Dia menceritakan tentang seorang teman lelaki sepengajiannya di universiti menghulur cinta kepadanya. Sama baik dan jujurnya seperti cikgu. Dia jadi goyah. Hati wanitanya senang sahaja melayan dan tersentuh. Tapi akhirnya dia menolak apabila kasihan mengenang cinta cikgu. Dia takut mengkhianati cinta kami sedangkan hati sendiri dihasut-hasut curiga bahawa cikgu sudah berteman."

"Cikgu beritahu keluarga kesesakan. Nasib adik-adik belum terbela dan anak lelaki sulung seperti cikgu patut lebih banyak berkorban. Dia nekad dalam hujan rintik petang itu, mahukan kata putus. Katanya bukankah perempuan bahan fitnah masyarakat sejak manusia membina tamadun lagi? Kata setia kali ini dia minta dikotakan. Dia beri masa dua bulan. Dia beristikharah memohon pada Allah agar ditetapkan jodoh. Lelaki yang terdahulu menghulur pinangan dia akan merelakan sebagai jodoh yang ditentukan Ilahi. Dan tiga hari selepas itu cikgu hantar rombongan meminang sehari lebih awal dari lelaki yang cuba menghulur cinta kepadanya. Ayah cikgu minta dikurangkan hantaran kerana situasi keluarga yang mendesak. Mereka terima dan kami dijodohkan.”

“Jadi cinta cikgu tak terhalang? Apa yang mengkhianati?” saya jadi hairan. Bukankah cerita cinta cikgu akhirnya membahagiakan. Ke jinjang pelamin?

“Cinta kami hilang selepas 20 tahun...” suara cikgu jadi tersekat tiba-tiba. Ada geletar dan air mata cikgu senang sahaja bergenang. Ada derita yang cuba ditahan-tahan.

“Cikgu sedar cikgu jarang menghulurkan rasa cinta sepanjang kami bercinta dahulu dan cikgu sedar lelaki yang hadir padanya dahulu banyak meninggalkan satu perasaan pada dirinya. Setidak-tidaknya cikgu dapat menilik perasaan sayang yang berbelah dan kasih yang terpendam. Tetapi cikgu merelakan. Cinta bukankah satu rasa halus yang sukar diungkapkan. Cikgu berdoa dan berdoa, dengan harapan ikatan perkahwinan kami dapat melupakannya pada cinta lama dan anak-anak yang lahir dari benih cinta ini dapat mengeratkan kembali cinta kami semula. Setidak-tidaknya cikgu adalah jodoh yang hadir dalam istikharahnya dan lelaki pertama yang menyatakan rasa cinta jujur meskipun kurang waktu bersama.”

“Kami bahagia bersama anak-anak. Anak cikgu tiga orang kesemunya. Yang sulung lebih kurang sebaya anak ni. Kami saling menyayangi. Ya, seperti keluarga orang lain yang gembira dan bahagia. Seperti keluarga anak juga. Kami lupakan kisah-kisah lalu. Anak-anak mengeratkan cinta kami saban hari dan selama itu cikgu tak pernah ragu-ragu pada cintanya. Tapi....,” saya jadi kaget. Cikgu menangis. Air matanya luruh titis demi titis. Nafasnya sekat tertahan-tahan. Saya jadi redup, dibawa bersama rasa sedih cikgu. Saya perasan beberapa orang memandang jelik dan pelik. Saya tidak mempedulikan. Bukankah kata cikgu masyarakat selalu menghukum? Masyarakat kita dibelenggu. Saya pegang lengan cikgu. Menepuk dan menggosok-gosok perlahan, memberitahu bahawa saya ada dan cuba merasai kepedihannya. Kepedihan yang ditanggung-tanggung. Kepedihan yang tak mampu cikgu bendung.

“Hanya satu pertengkaran yang tiba-tiba melarat berat, katanya cinta kepada cikgu selama ini dibuat-buat. Sekadar kasihan takut menyakiti dan membeloti janji-janji lama. Kahwin tanpa cinta selama 20 tahun bukankah satu pengkhianatan. Bukankah satu pengkhianatan pada diri dan anak-anak. Ah, pergi mati dengan cinta suci. Pergi mati dengan cinta terhalang. Semua itu pembunuh ikatan cinta yang sah. Pembunuh jiwa anak-anak yang suci dan percaya ibu dan ayah mereka diketemukan dengan rasa cinta dan percaya. Keluarga kami berantakan. Cintanya dilarikan lelaki itu sedang dia sudah punya isteri. Kerana cintakah ini atau kerana isteri cikgu perempuan kaya tetapi bersuamikan seorang cikgu biasa dan tak punya apa-apa!”

“Cikgu tidak mampu bertahan, nak. Kesabaran cikgu hilang sepertimana hilangnya cinta cikgu. Cikgu lepaskan dia. Ya, cikgu lepaskan cinta yang 20 tahun cikgu menjaganya. Cikgu jadi benci dengan rasa setia cikgu dan pada masa yang sama cikgu kasihankan anak-anak yang menanggung derita yang tidak pernah mereka termimpikan.”

“Sabar, pasti ada hikmah sebalik derita ini semua” saya tiada lagi cara untuk menenangkan cikgu. Air matanya makin melaju.

“Cikgu tahu dan cikgu tak pernah menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Bukankah kita insan sepatutnya menerima dan merelakan apa yang tertakdir. Mungkin ini salah cikgu, membiar diri terlalu dibeban cinta. Tidakkah bodoh lelaki seperti cikgu jadi gila kerana cinta?”
“Tak mengapa, cinta kepada isteri bukankah tanda sayang paling agung seorang lelaki. Shah Jehan takkan butakan arkiteknya kalau bukan kerana cintanya pada Mumtaz. Tidak pernah ada tahun dukacita buat Rasulullah selain tahun Khadijah ke rahmatullah. Sabar cikgu, Tuhan pasti beri gantinya.” Saya memujuk-mujuk. Cikgu angguk, perlahan sambil menyapu bucu mata dengan kura tangan.

“Terima kasih, anak seperti anak sulung cikgu. Seperti ibunya. Kata-katanya ada kuasa memujuk. Dia penyabar. Pandai menyimpan derita pada matanya. Pandai mengunci sengsara pada hatinya. Cikgu selalu berdoa agar dia tidak mudah goyah beban petaka keluarga begini. Jangan cuba membenci pada sesiapa. Terutama pada ibu sendiri. Harus lebih memaafkan.”

“Cikgu minta diri dulu. Maaf, tak sepatutnya orang luar merasa derita cikgu begini. Cikgu lihat anak sebagai lelaki penuh takjub, mata anak ada kuasa dan upaya merenung derita orang. Ingat, jadi warga yang tidak menyisih, membantu tanpa prasangka sesama bangsa sendiri, cintakan ilmu dan ubah masyarakat kita yang sakit. Hidup dalam keadaan terlalu menentang kadang-kadang buat kita menipu diri, ego dan saling menyalahkan. Jangan terlalu percaya pada cinta. Cinta perempuan itu laut dalam yang sampai bila pun tiada upaya kita menyelamnya. Cinta akan mengkhianati kalau kita terlalu menjaga dan percayakannya.”

Cikgu bangun, menggosok-gosok matanya yang merah dan mengorak langkah. Saya memandang tanpa putus hingga kelibat cikgu lenyap dalam lintas manusia malam itu. Agak lama. Saya menoleh dan terkejut. Ah, gambar isterinya! Saya berlari, menjenguk-jenguk sekitar tepian jalan Pudu Raya. Hampa dan kasihan. Berbaur-baur. Saya patah balik, menyandang beg mahu turun ke platform 15.

“Maaf, awak nampak ayah saya?” Seorang gadis menegur. Wajah cantik dengan pipi tersembul dan lesung pipi sebelah. Ada lelaki membuntuti. Barangkali adiknya. Saya mengerut dahi masih tidak memahami.

“Maksud saya gambar yang awak pegang. Itu ibu saya.”

“Oh, maaf. Dia arah sana. Dia duduk sebelah saya tadi,” saya menuding jari dan menyerahkan gambar. Dia menyuruh adiknya mengejar.

“Abah ada ceritakan sesuatu pada awakkan.” Saya angguk, masih terkejut dengan situasi.

“Jangan salah faham, abah tak pernah dikhianati. Ibu dianiaya bekas kekasih yang tidak pernah redha lalu jadi manusia iri hati dengan bahagia orang. Ibu disihir! Setahun abah rindukan cinta ibu sehingga diri jadi kurang waras dan hilang pertimbangan. Tak salah ibu mengagak dia ke sini, tempat abah luahkan kata-kata cintanya yang pertama. Abah perlu kembali, ibu kritikal di hospital, masalah jantung dan hilang ingatan. Hari-hari ibu menangis menyebut nama abah, dia rasa bersalah mengkhianati.”

“Maaf kalau cerita abah mengganggu awak. Abah sakit sebenarnya.” Gadis manis itu sedikit membongkok. Benar-benar mewakili rasa bersalah bagi pihak cikgu.

Kata cikgu memang benar, dia gadis cantik dan tak salah juga pertemuan sekejap ini ada rasa cinta tiba-tiba saja datang menyerkup. Ah, saya berkhayal barangkali. Anak cikgu saya lihat berlari anak hendak turun dari tangga.

“Kuatkan semangat. Jadi seperti abah awak. Dia tidak pernah silap menjadi manusia setia! Pencinta paling baik adalah yang tahu menghargai pengorbanan seseorang dan bukan kata-kata sayang semata” Saya sedikit melaung. Anak cikgu berhenti, menoleh dan memandang tajam penuh makna hingga menerobos ke dalam anak mata saya. Dia senyum dan mengangguk. Matanya sedikit berair.

“Abah bukan orang yang senang menceritakan derita diri. Barangkali awak orang luar istimewa.” Dia membalas dan berlalu. Saya tersenyum sendiri dalam rasa kasihan.

Cikgu, maaf sekali lagi. Saya berharap apabila terbaca cerita ini cikgu tidak jadi memarahi. Saya sebenar-benar tidak dapat menahan diri daripada memberitahu semua bahawa cikgu tidak pernah salah jadi lelaki setia. Saya seharusnya ajarkan diri jadi warga yang mensyukuri dan berjiwa bersih. Tidak prejudis dengan orang lain dan ikhlas dalam membantu. Meskipun memang susah mahu mengubah manusia tapi cikgu sedikit sebanyak berupaya mengubah saya. Bukan sahaja tentang masyarakat yang hipokrit sesama sendiri dan saling memburukkan tetapi juga tentang cerita cinta cikgu yang tidak pernah menipu!