Wednesday, April 10, 2002

Loket Berlian Cincin Timah

Dewan Siswa
April 2002
loket berlian cincin timahPROLOG

Aku dan Mellina menerima satu undangan khas ke majlis Pereka Muda peringkat antarabangsa di kota Milan, Itali. Kami menginap di Hotel Lombardia. Sebenarnya aku hanya memenuhi pelawaan Erina, teman sekelasku semasa aku di tingkatan menengah rendah dahulu. Selepas itu langsung khabarnya lenyap ketika dia bertukar sekolah di tingkatan empat.

Sedar-sedar dia merupakan salah seorang pereka muda terkenal negara terutama dalam penghasilan rekaan perabot untuk eksport luar negara dan jualan perabot edisi terhad untuk agensi-agensi berstatus korporat. Memang agak menghairankan seorang yang lemah lembut seperti Erina dan mempunyai cita-cita menjadi seorang doktor ini boleh cenderung memilih kerjaya yang majoritinya dikuasai kaum Adam.

Tetapi itu hanyalah permulaan pada suatu tragedi yang cukup meruntun perasaan aku dan Mellina. Segala-galanya terbongkar hanya kerana satu peristiwa silam.

13 Januari – 1005 a.m.

Ruang sejuk dan dingin menyambut kedatangan aku dan Mellina di auditorium yang tersergam indah dengan reka letak set pentas yang bercirikan moden dan futuristik itu biarpun bangunan dewan itu masih kekal dengan ciri-ciri rekaan Eropah kuno. Mata Mellina melilau menatap papan-papan lakaran dan keterangan mengenai rekaan yang dihasilkan oleh pelbagai pereka-pereka dari seluruh dunia. Aku mencari-cari kelibat Erina dalam ribuan khalayak yang mengelintar di segenap penjuru dewan agam itu. Hampa.

“Azo, kenal saya lagi,” sapa seorang gadis manis.

“Eh, Erina. Engkau dah banyak berubah. Cantik,” puji aku sambil mataku menancap ke atas dan ke bawah memerhatikan gaya Erina. Dia tampak anggun dengan gaun labuh serba putih berserta ropol-ropol bunga mawar menjadi hiasan utama corak sut pakaiannya itu. Loket berlian menghiasi leher jinjangnya. Aku kurang pasti apakah rupa corak loket itu. Seakan nombor 7 dengan bucu yang kurang tajam. Agak aneh tapi memang cantik. Dia bagaikan seorang model yang jelita. Mellina menyiku rusuk aku ketika aku sedang asyik menatap wajah Erina. Aku menggelabah melihat Mellina membuntangkan matanya yang sememangnya bulat itu. Erina ketawa kecil. Tanpa sempat berbual panjang Erina dijemput keluar oleh Hermain, pengurusnya yang berwajah kacukan Barat. Erina sempat menjemput aku dan Mellina untuk makan malam bersamanya esok di sebuah hotel di tepi tasik Maggiore, di bandar Peranginan Baveno. Hotel itu tidak jauh dari kota Milan. Wah, makan malam dengan seorang pereka cantik negara. Siapa pun boleh bermimpi. Tapi kini mimpi itu menjadi kenyatan bagi insan seperti aku.

14 Januari – 2035 p.m.

Erina sememangnya cantik. Mellina sendiri memuji-muji kaum sejenisnya itu sebaik sahaja kami bersurai makan malam. Pada malam itu Erina kelihatan anggun biar pun bergaya ringkas dan santai. Rambutnya yang panjang paras bahu itu didandannya rapi dan diselit ke alur telinga. Sesekali beberapa baris rambutnya yang jatuh ke pipi menambahkan lagi seri wajahnya. Apakah mungkin atma aku sudah goyah dengan raut wajah pereka muda ini?

Rupa-rupanya malam itu bagaikan satu perkongsian isi hati Erina denganku. Mellina terlopong mendengar cerita Erina. Tetapi selepas itu dia lebih tertarik dengan santapan spagheti di hadapannya.

“Wah, kau dah betul-betul berjaya sekarang. Kau ada nama, rupa, wang malah apa yang diinginkan setiap wanita. Aku betul-betul kagum dengan kau, Erina.” Erina tersenyum tawar.

“Sebenarnya semuanya tidak seindah yang kau kagumkan. Siapa mahu mengejar impian lain hanya kerana sesuatu yang diyakini dan disayanginya.”

“Maksud kau semua ini bukan impian kau?” aku keliru dengan kata-kata Erina. Seakan menyimpan seribu persoalan.

“Semua yang aku lakukan ini adalah untuk seseorang dengan harapan segala episod lama akan terungkai dengan satu kehidupan baru dan membahagiakan.”

“Siapa?”

“Saudaraku yang hilang.” Kilauan redup anak mata Erina membuatkan aku terfikir dan terasa duka hatinya yang perit ditanggung selama ini. Kenapa sampai jadi begini. Hatiku berdetik.

15 Januari – 0715 a.m.

Hatiku berkecai-kecai. Air mata sudah tidak mampu ku benteng lagi. Mengalir menelusuri bersama kecewa yang parah dan punah. Mellina merangkul erat lenganku sambil menekup muka ke bahu. Aku menggigil-gigil melihat kenyataan yang terakam di hadapan mata ini. Erina ditemui mati. Dia dipercayai dijerut di lehernya di kamar tidur. Aku dan pengurus Hermain disyaki terlibat dalam pembunuhan itu. Keputusan akhir Pereka Muda Antarabangsa kali ini terpaksa ditangguhkan beberapa hari bagi memberi laluan kepada pihak polis menjalankan siasatan.

Inspektor Anira yang menjadi pengawal keselamatan Erina selama ini terpaksa bekerjasama dengan pihak polis tempatan dalam membongkar dan berkongsi maklumat bagi menyelesaikan misteri tragis ini.

16 Januari – 0900 a.m.

Biarpun aku disyaki suspek penting tapi aku masih mempunyai bukti alibi. Sekurang-kurangnya Mellina menjadi saksi bahawa aku dan dia pergi bersiar-siar sekitar bandar Venice sebaik sahaja selepas makan malam bersama Erina.

Aku menghamburkan kemarahanku kepada Inspektor Anira kerana gagal menjaga keselamatan Erina. Apa guna dia dilantik menjadi pengawal peribadi sehingga berlakunya peristiwa hitam yang meragut nyawa Erina.

“Apa kau ingat aku ini sepanjang masa menjaga tepi kainnya.”

“Kau cuai. Di mana kau semasa Erina berada di kamarnya.”

Pang! Satu tamparan mengenai pipiku. Pipiku terasa pijar dan perit. Tambahan pula terkena batu cincin milik Inspektor itu. Cincinnya terpelanting dan jatuh bergolek di sudut pasu bunga Lavender berwarna merah. Dia tercari-cari cincinnya dengan ekor mata. Agak gelisah.

“Apa hak kau nak mempersoalkan tugas aku.” Inspektor Anira berlalu pergi.

Aku hampir mengamuk di ruang legar hotel itu mendengar kata-kata Inspektor Anira. Beberapa orang polis dengan pantas menangkap dan menggari aku untuk dibuat tahanan reman. Mellina berkali-kali menyuruh aku bertenang.

Pada hari ini juga pengurus Hermain berjaya diikat jamin. Dia mempunyai peluang cerah menyangkal dakwaan terhadapnya kerana mempunyai banyak saksi yang dapat membuktikan alibi dirinya. Pada malam kejadian dia berada sepanjang masa di auditorium bagi membantu menyiapkan set pentas.

Aku mula menghubungkaitkan kata-kata Erina pada malam aku bertemu dengannya. Aku meminta pertolongan Mellina agar dapat melakukan sesuatu perkara untukku. Mellina memberi kerjasama yang baik. Aku juga meminta inspektor Anira membenarkan aku berbicara dengan pengurus Hermain. Terlalu banyak yang perlu aku ketahui mengenai identiti Erina agar rahsia kematiannya terbela kelak. Aku berjanji pada diriku sendiri.

Malam itu aku tidur dilantai simen di lokap balai polis. Erina berkali-kali muncul dalam mimpiku sambil tangannya menghulur loket berlian kepadaku. Kemudian aku terjaga dengan peluh memercik. Amanat apa mimpi ini?

17 Januari – 1345 p.m.

Pertemuan dengan Hermain banyak memberi maklumat kepadaku. Tidak sangka lelaki berusia pertengahan 30 ini banyak menyimpan seribu satu kisah hidup Erina. Di akhir perbualan Hermain menyerahkan loket berlian milik Erina kepada aku. Katanya itu adalah pesanan terakhir Erina kepadanya sebelum dia keluar makan denganku. Erina menyuruhnya memberikan loket itu kepada orang yang dipercayainya akan muncul secara tiba-tiba suatu hari nanti. Hermain merasakan bahawa akulah orang itu biarpun aku sendiri berasa sangsi.

Misteri pembunuhan Erina bagaikan terungkai sebaik sahaja Mellina menyerahkan sesuatu benda kepadaku. Aku bertekad akan mengheret penjenayah yang kejam dan zalim itu.

18 Januari - 1102 a.m.

Aku berkali-kali cuba meyakini pihak polis di situ bahawa aku sudah menemui penjenayahnya. Inspektor Anira menegah dan cuba menghalang hasrat aku. Dia memberitahu segala-galanya perlu dijawab apabila tiba masanya di mahkamah.

Akhirnya desakanku berjaya setelah mendapat ihsan Ketua Polis di situ. Dengan keadaan tangan bergari, aku diberi peluang membela diri dan menarik tirai penjenayah sebenar. Anggota-anggota polis yang terlibat diberi perintah agar mematuhi permintaan aku untuk mengumpulkan orang-orang penting sepanjang kejadian berlaku. Keadaan kian tegang apabila aku mula menatap setiap khalayak di hadapanku seorang demi seorang.

“Pembunuhnya ialah kau, Inspektor Anira!” Keadaan menjadi riuh. Beberapa orang hadirin kelihatan mengerutkan muka. Inspektor Anira kelihatan tenang menerima pertuduhanku.

“Tuduhan tanpa bukti tidak layak dikemukakan!”

“Aku ada buktinya!”

“Kau adalah kakak kembar Erina yang menghilangkan diri selama 9 tahun.”

“Tipu, itu adalah dakwaan kosong.”

“Pihak polis boleh membuat ujian DNA dan darah bagi menentukan sama ada Inspektor mempunyai hubungan darah dengan Erina atau tidak.”

“Kalau pun aku mempunyai hubungan darah dengan beliau. Aku tiada sebab membunuh beliau. Lihat loket berliannya yang berharga ribuan ringgit pun tidak hilang. Kalau aku penjenayah sudah lama aku mengambilnya dan melarikan diri.”

“Kata-kata kau tadi membuktikan kau sendiri adalah penjenayah,” Inspketor Anira terpaku. Suasana yang hingar kemudian bertukar sepi cuba mendengar bait yang bakal kututurkan.

“Kalau penjenayah biasa, adakah membunuh orang menjadi suatu hobi tanpa matlamat yang jelas. Mengapakah penjenayah yang kerjanya melakukan jenayah langsung tidak menyentuh barang-barang yang menjadi buruannya. Dia tidak dirogol. Tambahan pula loket berharga ribuan ringgit langsung tidak terusik. Ini menunjukkan ada sesuatu yang menjadi titik hitam yang membelenggu diri penjenayah sehingga tergamak melakukan jenayah pembunuhan bermotifkan sesuatu yang cuba disembunyikannya.” Keadaan makin senyap dengan keterangan yang tidak diduga itu.

“Erina dan Inspektor Anira pernah hidup bersama sehingga ibu bapa mereka meninggal akibat kemalangan ketika mereka berusia 10 tahun. Mereka hidup merempat kemudiannya diserahkan kepada dua orang keluarga angkat. Erina bertuah mendapat kasih sayang sepenuhnya dari keluarga angkatnya yang agak berada. Pengurus Hermain adalah abang angkatnya yang dianggap seperti saudara kandungnya sendiri.” “Tetapi Anira disisihkan keluarga angkatnya gara-gara melaporkan kegiatan bapa angkatnya yang mengedar dadah kepada pihak polis. Kerana tidak tahan didera pada suatu hari Anira yang baru berusia 12 tahun itu telah membunuh bapa angkatnya sendiri.”

“Dia melarikan diri dan akhirnya dijumpai Erina. Harapannya untuk memulakan hidup baru bersama Erina musnah apabila pihak polis berjaya menjejakinya atas alasan membunuh bapa angkat….”

“Cukup, jangan kau cakap lagi. Sampai mati pun aku tidak dapat mengampunkan pengkhianatan itu. Saudara kandung sendiri sanggup mengkhianati aku. Dia melaporkan kes pembunuhan aku kepada polis. Kemudian aku terpaksa melarikan diri. Dengan usia yang muda aku merempat serata negeri. Bertukar satu keluarga ke satu keluarga. Menanggung hina dan malu. Umpat dan maki tetapi dia senang mengecap kemewahan. Aku terpaksa menukar namaku, bersusah payah belajar sendirian tanpa sokongan sesiapa dan akhirnya aku berjaya menjawat jawatan tertinggi dalam bidang polis. Tiba-tiba dia muncul dihadapanku dengan kemewahan dan aku sekadar menjadi pengawal peribadinya!”

“Cakap…! Cakap padaku bagaimana harus aku telan kehinaan pada bayang-bayang pengkhianatan ini!” Inspektor Anira melampiaskan suara hatinya sambil menangis teresak-esak. Namun di wajahnya tiada langsung penyesalan. Seakan dendamnya ke atas saudara kembar sendiri sudah terbalas. Perlahan-lahan dia membiarkan tangannya digari dan dibawa masuk ke perut kereta peronda polis. Misteri pembunuhan Erina selesai dengan pengakuan saudara kembarnya itu.

03 Mac - 1507 p.m.

Aku melawat Arina @ Anira di penjara wanita bersama Mellina. Dia kelihatan sugul sepanjang masa. Langsung tiada perubahan sama seperti riak wajahnya yang aku kenali sebulan lalu. Dia seperti tidak mahu menyambut tetamu yang mengunjunginya.

“Buat apa kau menjenguk aku. Puas dengan apa yang telah kau bongkarkan. Puas dengan apa yang dapat kau lihat pada aku yang terperuk dalam kamar yang suram dan hitam ini.”

“Aku akan dapatkan peguam yang terbaik untuk kau agar hukuman kau dapat diringankan.”

“Peguam terbaik? Untuk apa?” Arina @ Anira begitu hairan. Takjub.

“Semuanya kerana Erina.”

“Erina? Tapi mengapa.”

“Baru sekarang kau mahu bertanya? Kau hanya tahu menyesali dan mengeluh mengenai nasib dan derita hidup kau sendiri. Tapi hidup kau penuh dengan dendam yang busuk dan keji. Tidakkah kau tahu betapa derita Erina menanti kehadiran kau di sisinya saban hari. Betapa saban tahun dia menjeruk dan memendam perasaan dengan rasa bersalah kerana khuatir kau akan menyimpan dendam serta memutuskan pertalian saudara.”

“Bukan Erina yang melaporkan kes pembunuhan bapa angkat kau tetapi Hermain. Dia berasa curiga kau akan bertindak di luar batasan nanti. Bertahun-tahun Erina menunggu kepulangan kau agar dapat memberitahu perkara sebenar.”

“Kau fikir dia menjadi seorang pereka untuk menghina kau. Cita-cita yang menjadi impian kau sejak kecil. Tidakkah kau tahu betapa setiap malam dia tekun menelaah buku kerana memenuhi pengajian luar kampus dan separuh masa demi mengejar impiannya menjadi seorang doktor. Dia berharap apabila kau muncul nanti dengan persamaan wajah kamu berdua, kau akan dapat menggantikan tempatnya sebagai seorang pereka sementara dia boleh menjadi seorang doktor dan memulakan hidup baru bersama-sama nanti.”

“Oh, adik, maafkan kakak.” Arina @ Anira menangis semahu-mahunya. Air matanya berjuraian bagai air mengalir. Panas dan penuh sesalan yang tidak bisa ditebus. Dia kecewa dengan keterlanjurannya. Mellina turut menangis melihat realiti kehidupan di hadapan matanya itu. Aku cuba sedaya upaya menahan keegoan lelakiku. Tapi gagal. Air mata ini terlalu murah untuk menanggung semua ini.

“Ambillah loket ini. Inilah membuktikan kau adalah saudara Erina. Aku tahu kau sengaja menyadur cincin berlianmu dengan timah agar dapat menyembunyikan identitimu. Aku mulanya agak hairan dengan rupa bentuk loket kepunyaan Erina. Rupa-rupanya itu adalah bentuk hati yang dibelah tengahnya. Sebahagian lagi adalah cincin berlian milik kau yang telah aku cantumkan. Hermain pernah berkata Erina mahu meninggalkan loket ini pada seseorang yang akan muncul di hadapannya secara tiba-tiba. Dia berikan pada aku. Tapi aku tahu orang itu ialah kau bukan aku. Lambang penyatuan kasih dan sayang dua saudara.” Arina @ Anira mengenggam erat loket pemberian adiknya. Dia menangis lagi. Aku dan Mellina mula mahu mengundur diri.

“Tunggu, aku ingin tahu bagaimana kau menyedari aku adalah saudara Erina” Arina @ Anira meminta kepastian. Disapunya air mata yang meleleh di pipi.

“Kalau seseorang mangsa itu dijerut dari belakang sudah tentu tindak balasnya akan agresif hasil rembesan bendalir adrenalin untuk mempertahan diri ketika terdesak atau ketakutan. Dia sepatutnya akan meronta sekuat hati untuk menyelamatkan diri. Erina mungkin boleh mencakar tangan kau untuk memberi isyarat sebelum mati dengan meninggalkan kesan kulit penjenayah yang akan tertanam di dalam kukunya nanti. Tapi pada situasi Erina langsung tiada kesan tersebut. Dia seperti tahu siapa pembunuhnya dan merelakan nyawanya ditamatkan.” Kali ini Anira @ Arina menangis dan meraung-raung lebih kuat. Dia tampak kesal sekesal-kesalnya. Air mata sudah tidak bererti lagi.

“Tapi aku tahu kau mula melonggarkan jerutan apabila terpandang loket berlian itu. Tapi segalanya sudah terlambat. Cukuplah bukti kau masih sayangkannya kerana kau begitu gelisah benar apabila mendapati cincin kau hilang selepas menampar aku tempoh hari. Aku tertanya-tanya mengapa kau begitu sayang akan cincin timah berukiran biasa itu. Biarlah, tiada guna kau menyesal. Erina takkan kembali lagi. Mulalah hidup baru sebagi manusia yang tak kenal putus asa dan tidak patah harapan. Syarikat Erina sentiasa mengalu-alukan kedatangan kau kelak.”

Penjara ditinggalkan dengan pelbagai kisah duka dan air mata. Arina @ Anira menyesal tak sudah. Dia dipenjarakan 10 tahun. Mungkin hukumannya akan diringankan sekiranya proses rayuan berhasil dan berkelakuan baik di dalam penjara. Biarlah segalanya berakhir di situ.


EPILOG

“Mellina, aku rasa nak ziarah kubur Erinalah.”

“Boleh juga. Lepas tu boleh kita jumpa Arina sekali.” Aku tersenyum mendengar persetujuan Mellina itu.

“Eh, macam kenal je loket tu,” aku terperasan loket berlian berbentuk hati yang dipakai Mellina. Biasan dan kilau cahaya dari loket itu menarik perhatian aku.

“Arina yang kasi. Katanya loket dan cincin ini akan diberi kepada bakal suami masing-masing sebagai simbol kasih sayang. Mungkin betul apa yang dikatakan Hermain. Awaklah orangnya tapi sayang Erina dah pergi dulu. Kalau tak melepaslah saya.”

Aku termenung seketika. Seperti biasa Mellina menyiku rusuk kiriku meminta diberi perhatian. Aku menjerit sakit.

“Saya rasa peristiwa ini banyak memberi pengajaran berguna.”

“Saya tahu!” Mellina memotong.

“Apa dia?”

“Kalaulah Hermain tidak melaporkan kes Arina kepada polis tentulah peristiwa ini tidak berlanjutan dan akan hilang ditelan masa. Arina pula tidak sepatutnya lari. Dia mungkin hanya dikenakan hukuman dihantar ke pusat juvana memandangkan dia ialah pesalah di bawah umur ketika melakukan jenayah itu. Lagipun dia membunuh kerana cuba mempertahan diri daripada dirogol bapa angkatnya.”

“Betul. Tapi semua itu hanyalah berlandaskan kemungkinan. Hanya ada satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.”

“Apa dia?” kali ini Mellina pula bertanya.

“Gambar ni.” Aku mengeluarkan sekeping gambar berukuran 3R. Kelihatan sepasang kanak-kanak kembar berusia 10 tahun sedang tersenyum gembira dalam satu majlis konvokesyen sekolah.

“Kenapa dengan gambar ni?”

“Adakah seseorang itu patut meragui saudaranya sendiri. Lihat gambar ni. Pada masa tu kedua-dua mereka tersenyum. Langsung tanpa prasangka. Senyuman mereka seikhlas. Seikhlas hati mereka.”

Mellina mengangguk perlahan. Kami mengorak langkah. Aku bergurau menyuruh Mellina menyerahkan loket berlian itu. Dia menjegilkan matanya sambil menyiku rusukku lagi.

Perlahan-lahan tabir peristiwa yang tidak terpadam ini berlabuh turun bersama rawan hati. Makin lama makin jauh dan pudar ditelan masa.

0 komen: