Monday, February 07, 2011

Maknanya Cinta III

Wajahmu
kadangkala menjelma
di papan tanda
di jalan raya
di langit awan
di gelas cawan
di mana-mana

Ah, wajahmu di mana-mana..

Friday, January 28, 2011

Maknanya Cinta II

Aku membayangkan
malam yang penuh rajuk itu
hatimu remuk, kecamuk
kau terlentang pada ranjang malam
meratib cinta yang suram

Thursday, January 20, 2011

Maknanya Cinta I

Sudah lama
tidak aku tulis puisi
buatmu, perempuan
kerana
hidup dalam kembara lara ini
jadikan aku si kerdil
yang memencil diri dalam kelongsong masa
lena dalam sifar
sedetik pun tidak berganjak

Sunday, November 14, 2010

Ingatkan Dirimu

Ketika malam
tidak mahu membiaskan bayang-bayang
aku terbujur
dengan panas memanggang tubuh
mengerdip mata pada titik buta
ingatkan dirimu
meski bahasa kita penuh gelita

Tuesday, May 18, 2010

Konservatif Cinta Kita

Kekasih,
Bukan aku tidak mahu
menyuntik liberal dalam cinta
Cuma akulah yang sengaja
Biarkan cinta kita
Terbiasa konservatif begini

Wednesday, April 07, 2010

Seharum Cintamu, Dzhennet

Dzhennet,
Kalau tiada lagi senjata ampuh
mampu melawan musuh
apakah sanggup aku jadi sepertimu?
si pemberani
melilit peledak dan nat besi
tenang mengunci benci
sabar menyita derita
bersama kitar zikir,
dan asma Tuhan
kau relakan tubuhmu
berkecai di bumi Moscow

Dzhennet,
sesungguhnya aku terhidu
haruman cinta
dalam hamis darahmu

Wednesday, March 17, 2010

Tunggu Aku di Ramallah

Rubi,
petang rusuh itu
wajahmu tidak muncul di jendela
aku, kau biar menunggu
menghunjam batu
menghitung janjimu

Rubi,
entah petanda apa
membawaku berlari
menyelinap, memasuki Kota Suci
bukankah di hadapan Al-Aqsa ini
pernah kau hulurkan aku selendang merah
buat menyapu darah
ketika kepala dibedil peluru penjarah

Rubi,
sengaja aku tidak mahu meneka
meski sudah kutemu jawapannya
di balik kerumun saudara-saudara kita
kerana
menatap pucat bibirmu
kering darah di gaun putihmu
longlai tanganmu
dan rubi pecah di jari manismu
terasa seperti jantung ini pecah
terlontar ke tembok-tembok pemisah

Rubi,
syahidlah..
syahidlah..
pergilah ke rahmat Allah..
cinta, kasih kita
biar berbekas di Ramallah

Thursday, February 04, 2010

Sunyi Waktu

Sudahku masuki hatimu
dalam raub wajah tenang
ketika kesunyian itu
mengetuk,
menukul jantung
aku pula membenam waktu
dikambus bayang-bayang

Saturday, January 30, 2010

Mata

Aku sudah lama membaca
tanda tanya pada rona matamu

Friday, January 29, 2010

Berlari Dalam Hujan

Ada sesuatu
yang tertinggal
ketika aku, kau
berlari menghindar hujan

Tuesday, October 20, 2009

Rama-Rama Di Bibirmu

Kata-kata dari bibirmu
adalah rama-rama
yang hinggap di bucu jendela
penuh pesona

Monday, October 12, 2009

Derita Hidup Kita

Kawan,
lebih baik mati
kerana derita
daripada hidup
tanpa cerita.

Wednesday, September 09, 2009

Menikmati Malam

Malam dingin
kubuka mata, suaramu menerobos jendela
mengirim desir tanya
mahu ke mana kita?
kataku
aku sudah lama tidur dengan wajahmu pada bulan
cuma tiada khabar salam pada cebis rindu
kerana aku mahu kau menunggu saat kusumbukan pelita dari jiwa gelap
supaya akan kau lihat cinta gemerlap

Saturday, August 15, 2009

Kita yang Tiada Suara

Selalu saja
Hati ini tiada mulut
untuk bersuara
Mulut pula
tiada hati
ketika berbicara

Bila lagi
mahu aku faham diri sendiri?

Tuesday, August 04, 2009

Hujan yang Sejuk dan Payung yang Bocor

Hujan di luar
Basah dan sejuk
Payung pula tiba-tiba bocor
Katanya,
Maaf
Hari ini awak basah
Sebab kita sakit

Saturday, July 18, 2009

Kata-Kata Dari Matamu

Kata-kata
dari matamu
adalah bahasa api
membakar sukma
dan
aku sesungguhnya
dapat merasa
nafas ini dipanggang
menjadi bara
hangus dan mendebu

Malam itu
tidak terhitung
cinta kita yang rentung

Thursday, June 18, 2009

Manisnya Cinta Kita

Andai relung hatimu
berbaja risau, maaflah
kerana kebun takdir ini
buahnya penuh hijab
entahkan manis
entahkan masam
kita mencari, menduga
dengan indera penuh batas
sesekali tertipu kita belajar
menghitung musim, menelah rasa
kerana
manisnya cinta itu
kadangkala kulitnya jelik, pelik
tapi isinya putih
penuh cinta
penuh syurga

Saturday, June 13, 2009

Derita, Terima Kasih

Akhirnya kau datang
setelah lama bersembunyi di lorong kesunyian
datangmu membawa igau panjang dan mimpi tak bermusim
menggali-gali kesedaran, menggegar kamar sepi

Sakit, engkau yang kukenal datang juga
datanglah, badan ini masih mampu menanggung
luka-luka yang menyiat urat dan daging
sehingga air mata menyejat dan mengering

Sakit, terima kasih kepada pelajaran
kerana aku, kita
manusia
tidak harus lemah kerana derita

Saturday, May 23, 2009

Kita yang Bersalah

Bukan
salah engkau
tidak menunggu
cuma aku
tidak mengejar

Friday, May 08, 2009

Cerita Tentang Kekasih

Kalaulah
engkau, aku
berkasih
akankah
kita bercerita
tentang Kekasih