Saturday, July 18, 2009

Kata-Kata Dari Matamu

Kata-kata
dari matamu
adalah bahasa api
membakar sukma
dan
aku sesungguhnya
dapat merasa
nafas ini dipanggang
menjadi bara
hangus dan mendebu

Malam itu
tidak terhitung
cinta kita yang rentung

Thursday, June 18, 2009

Manisnya Cinta Kita

Andai relung hatimu
berbaja risau, maaflah
kerana kebun takdir ini
buahnya penuh hijab
entahkan manis
entahkan masam
kita mencari, menduga
dengan indera penuh batas
sesekali tertipu kita belajar
menghitung musim, menelah rasa
kerana
manisnya cinta itu
kadangkala kulitnya jelik, pelik
tapi isinya putih
penuh cinta
penuh syurga

Saturday, June 13, 2009

Derita, Terima Kasih

Akhirnya kau datang
setelah lama bersembunyi di lorong kesunyian
datangmu membawa igau panjang dan mimpi tak bermusim
menggali-gali kesedaran, menggegar kamar sepi

Sakit, engkau yang kukenal datang juga
datanglah, badan ini masih mampu menanggung
luka-luka yang menyiat urat dan daging
sehingga air mata menyejat dan mengering

Sakit, terima kasih kepada pelajaran
kerana aku, kita
manusia
tidak harus lemah kerana derita

Saturday, May 23, 2009

Kita yang Bersalah

Bukan
salah engkau
tidak menunggu
cuma aku
tidak mengejar

Friday, May 08, 2009

Cerita Tentang Kekasih

Kalaulah
engkau, aku
berkasih
akankah
kita bercerita
tentang Kekasih

Sunday, May 03, 2009

Penjara

Tuhan
Barangkali diriku
jeriji kecil bersawang
terperosok di penjara sempit
tanpa sebintik cahaya pun
kerana tiada pernah
aku meraub debu di kaca muka

Tuhan
Derita apakah
buatkan aku begini?

Wednesday, April 15, 2009

Maknanya Pedih

Derita yang mengulir kamar lenaku
ada air mata sudah lama menjadi sungai
kontang dan merekah
dan dalam mimpimu
aku hidup di hutan tabah
subur dan menghijau
sedangkan sengsara ini tidak pernah bernisan
ia kemboja, tumbuh mewangi luka
kalaulah engkau faham maknanya pedih

Sunday, April 12, 2009

Cerita Cinta Larut Malam

Menyebut namamu pun aku tidak mampu
kerana rindu yang engkau pasung
menjadi jantur malamku

Menyebut namamu pun aku tidak mampu
kerana kasih yang engkau bendung
menjadi ranjau mimpiku

Kekasih,
kalau kerana mimpi ini
dapat aku berterusan bercinta denganmu
mahu saja
terus aku tidur sebegini
kerana dalam kamar sedar ini
engkau sebenarnya
sudahpun bangun meninggalkan aku..

Wednesday, March 25, 2009

Pautkan Aku, Bintang

Akukah
yang
berpaut
di bucu bintang..

Sunday, February 22, 2009

Kita Yang Terbang

Pilu terbang
jatuh
ke situ
jadi sayu

Sayu terbang
jatuh
ke situ
jadi rindu

Rindu terbang
jatuh
ke situ
jadi kasih

Kasih terbang
jatuh
ke situ
jadi cinta

Cinta terbang
jatuh
ke situ
jadi mati

Mati terbang
jatuh
ke situ
jadi kenangan

Terbang
dan jatuh
adalah aku, kamu
yang sengaja
memalit dosa
di hujung cinta

Tuesday, February 10, 2009

Cinta Sehembus Nafas

Tiada lagikah
Sehembus nafas pun
Ingatanmu padaku..

17/10/06

Monday, February 02, 2009

Mimpi

Tuhan ciptakan
malam dan siang
matahari dan bulan
supaya manusia tahu
mengenal mimpi dan kenyataan

Thursday, January 15, 2009

Sepi III

.
.
. Sepi itu .
. musim hujan paling dingin .
. menyelimut nubari .
. merengkuh perasaan .
. merintik .
. percik-percik rindu .
. yang terpalit .
. di daun kenangan .
.
. Hujan .
. entah bila .
. mahu engkau berhenti? .
.
.

Thursday, January 08, 2009

Maaf Untuk Palestin

Palestin.
Maaf.
Aku selalu saja tertinggal
mungkin juga terlupa
doakan dirimu
di hujung munajatku.

Palestin.
Mungkinkah?
aku pun sepatutnya bersedia
menadah
hujan peluru
tanpa bekalan doa
saudara-saudara kita.

Tuesday, December 30, 2008

Adik, Usahlah Bimbang

Adik,
air di Gaza sudah kontang.
tapi, usahlah bimbang
kerana kita
masih punya air mata
untuk dihirup
sebagai penyambung nyawa

Tuesday, December 02, 2008

Senyum Di Dalam Hujan

Hujan yang membasahi
tubuhku
dan angin yang mendingini
belulangku
adalah senyumku
yang tersisa
pada lecak
kehidupanmu..

Friday, November 14, 2008

Biarlah Aku Gulanya

.
.
.

Kalau hatimu itu kopi
Izinkan aku menjadi gulanya..

.
.
. . . . . . . . .
.
.
. . . . . .

Wednesday, November 05, 2008

Aku Mahu Jadi Apa?

(dari seorang wanita)

Aku mahu jadi raja
Tapi aku orang biasa
Aku mahu jadi pari-pari
Tapi aku tiada sakti
Aku mahu jadi tentera
Tapi aku takut tercedera
Aku mahu jadi puteri
Tapi aku tidak punya negeri
Aku mahu jadi politikus
Tapi aku orangnya lurus
Aku mahu jadi kaya
Tapi aku tak pandai berniaga
Aku mahu jadi isteri
Tapi aku tiada suami
Aku mahu jadi pemuisi
Tapi kata-kataku basi
Aku mahu jadi pujangga
Tapi aku tidak punya otak geliga
Aku mahu jadi pendamai
Tapi aku dirasuk mamai
Aku mahu jadi wanita
Tapi aku masih remaja
Aku mahu jadi tinggi
Tapi aku tak cukup inci
Aku mahu jadi emak
Tapi aku tiada anak
Aku mahu jadi pensyarah
Tapi aku tiada ijazah
Aku mahu jadi penyanyi
Tapi suaraku tidak berseni
Aku mahu jadi pelakon layar
Tapi aku selalu gementar
Aku mahu jadi pengarah
Tapi aku selalu marah
Aku mahu jadi dewi remaja
Tapi aku tiada rupa
Aku mahu jadi lelaki
Tapi aku si gadis sunti
Aku mahu jadi sahabat setia
Tapi kawan-kawanku ramai pendusta
Aku mahu jadi tukang masak
Tapi laukku selalu berminyak
Aku mahu jadi angkasawan
Tapi aku takut merempuh awan
Aku mahu jadi pelumba
Tapi aku takut kehilangan nyawa
Aku mahu jadi jurutera
Tapi aku tak kenal jentera
Aku mahu memeluk dunia
Tapi tanganku hanyalah dua
Aku mahu jadi pencinta
Tapi ramai lelaki buaya
Aduh,
Aku mahu jadi apa sebenarnya?

Dan
Kata ibu,
Aku hanya perlu tidur yang lena
dan jadi anak ibu yang berguna
Dari terus memikirkan
Aku mahu jadi apa..

13 Julai 2004

Wednesday, October 29, 2008

Tiada Aku Lupa

(dedikasi untuk teman Industrial Design, PJB 1999-2001)

Silau kalimantang hijau berkelkatu itu
Senang sahaja mengingatkan aku
Pada hari-hari kita yang lalu
Dan masa-masa kita yang rindu
Teman,
Apa lagi yang mampu kuimbau?
Selain menyelak potret-potret lama
Yang menceritakan laman kenangan kita

Tiada aku lupa
Bingit jukebox Cromox dan gusti The Rock,
Sedih lagu raya Raihan dan bicara Melayu Shah Rukh Khan
Sabar memancing udang kolam
Dan menyanyi girang di atas buaian taman permainan
Teringat pada prebet sapu yang berbicara lucah
Lalu aku dipaksa pasrah
Sepanjang deret kedai dan jirat-jirat mati
Dan kalian mendesah resah
Menanti tiba ke pintu rumah

Di bangku ABC
Kita enak dengan teh tarik dan roti canai
Mencecap lazat nasi ayam dan asap rokok
Kita bebas membicarakan apa sahaja
Tentang cerita-cerita kemanusiaan dan kecintaan
Selalu kita terleka pada gadis-gadis cantik
Dan kita pun nakal mengusik
Dan tumpah panas teh dihujung kaki
Membuatkan aku kepanasan menari
Gelak tawa kita pun berseri

Kita kerap terlena
Di sofa jerami menyudahkan kertas kerja
Dipaksa menjadi jurnalis, tukang kayu dan pengutip sampah
Kita dilalikan dengan pujian dan cacian pensyarah
Diserabut dengan idea tak tercurah
Memudiki stationery dan kilang besi
Risau pada wang ringgit
Dan terima kasih
Kerana kalian selalu menghulurkan
Apa yang tidak mampu aku bayarkan

Teman,
Ketika kalian berlabuh di hentian Masai
Dengan hati menahan derai
Apa lagi mampu ku tahan
Selain keterharuan
Dan benang air mata dan rasa
Dan kita pun hilang
Tanpa ketemukan..

21 Julai 2004

Monday, October 20, 2008

Gula-Gula dan Nota Cinta

Ingatkah?
Ketika wajahmu kusut
dan kau mengerekot di sudut kamar hospital
bicaramu, kesunyian begitu merobek

Aku nekad mengunjungimu
pada lewat petang itu
ketika jeriji besi sudah separuh tertutup
bersama bekal gula-gula
dan secebis nota cinta

Kalaulah rindu itu
manisnya seperti gula-gula
dan cinta itu
kekalnya seperti di dalam nota cinta
mahu saja aku pulangkan
segala ingatanku padamu
supaya aku menjadi si pelupa
yang tidak mampu mengingati apa-apa